Penderitaan adik Wan Fahimah dapat perhatian ADUN

- Advertisement -

PADANG TERAP: Kisah Wan Fahimah Wan Mohamad, 27, yang mendapat liputan media sebelum ini, menarik perhatian ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.

- Advertisement -

Beliau bersama isteri berkunjung ke rumah penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al Quran dan Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNiSHAMs), di Kampung Tok Pelu, semalam.

Sebelum ini, pelajar terbabit yang disahkan mengidap kanser payu dara sejak Januari lalu terpaksa berulang alik sendirian menunggang motosikal dari rumah sewanya di Taman Desa Mutiara, Kuala Ketil untuk menjalani pemeriksaan setiap dua minggu sekali di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Fahimah menangguhkan pengajiannya dan bekerja sebagai tukang cuci tandas awam Pantai Merdeka untuk mencari sumber kewangan bagi merawat kanser tahap empat yang ditanggungnya itu.

Sungguhpun begitu, beliau hanya mampu bekerja tiga minggu dalam sebulan kerana kesihatannya sering terganggu, sementara gaji yang diperolehi digunakan untuk menampung kos ulang alik dan rawatan di hospital.

Justeru, Munir mengharapkan kunjungan beliau ke kediaman pelajar tersebut, dapat memberi sedikit semangat, motivasi diri dan kekuatan kepadanya.

“Semoga adik Wan Fahimah serta keluarga sabar menghadapi ujian yang diberikan oleh Allah SWT ini.

“Sokongan daripada masyarakat setempat dan pihak berkuasa adalah amat penting dalam membantu pesakit dan keluarga untuk terus tabah dan berjuang.

“Saya doakan semoga adik Wan Fahimah diberikan kekuatan untuk sembuh dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya.

Sementara, Fahimah dan keluarga juga dikunjungi Setiausaha Politik Menteri Besar, Zulkifli Yahaya dan Pegawai Khas Menteri Besar, Norhafizah Fadzil.

Pada kunjungan itu, sedikit sumbangan diberikan untuk meringankan bebanan yang ditanggung keluarga tersebut.

Dalam pada itu, Fahimah difahamkan telah selesai menjalani pembedahan membuang sel kanser di payu dara kanannya di HSAH,16 Julai lalu dan beliau akan menyambung rawatan radioterapi sebanyak 15 kali di Hospital Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -