PRK Nenggiri: PAS Johor seru rakyat undi bulan

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan dua penjuru yang sengit kerana banyak isu semasa dan ekonomi sedang berlaku dalam negara masih belum selesai.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni, berkata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada Bersatu, Mohd Rizwadi Ismail akan menggunakan lambang bulan yang sememangnya sudah menjadi sinonim dengan masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan agama. 

- Advertisement -

“Namun, kesedaran masyarakat semakin bertambah ekoran situasi ekonomi dan sosial yang berlaku menyebabkan masyarakat telah mengenali hala tuju Kerajaan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang kini mengikut telunjuk DAP.

“Mereka dilihat sudah lari dari matlamat asal perjuangan. Tiada lagi sumpah ‘No DAP No Anwar’ yang dilaungkan suatu ketika dahulu. 

‘Sementara di pihak PH pula tidak nampak lagi janji pilihan raya yang dilaksanakan, bahkan janji minyak turun pun dilanggar begitu sahaja dengan kenaikan harga diesel,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Abu Irfan berkata, PN dilihat sebagai pilihan terbaik untuk menerajui negara walaupun PRK Nenggiri tidak merubah senario politik, namun semangat kesedaran yang berterusan adalah amat penting. 

“Justeru, dalam meneruskan kebangkitan rakyat menolak kebobrokan dan tiada integriti dalam tatakelola.. teruskan kebangkitan rakyat menolak Kerajaan PH-BN,” katanya. 

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -