Surau Awam Pantai Batu Buruk kini dibuka untuk orang ramai

Surau Awam Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu yang berusia 20 tahun ini dinaik taraf dengan kos RM100,000.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Surau Awam Pantai Batu Buruk yang dinaik taraf oleh anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) kini dibuka untuk orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, khususnya sebagai syarikat yang telah mengeluarkan dana untuk membaik pulih surau yang sudah lama terbengkalai itu.

- Advertisement -

“Kami daripada pusat khidmat DUN kita menerima banyak aduan dan kita telah ambil tindakan sejak daripada penggal lepas lagi dan inilah kemuncaknya yang saya kira insya-Allah ia akan berikan kemudahan kepada pengunjung-pengunjung.

“Apa yang penting ialah kesinambungan yang kita telah adakan perbincangan untuk kita rancang kesinambungan surau ini supaya hidup dan terjaga.

“Dari segi pengurusan penyelenggaraan, insya-Allah akan diuruskan oleh pusat khidmat DUN Batu Buruk dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Batu Buruk,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Surau Taman Awam di sini, hari ini.

Muhammad Khalil Majlis dalam acara Penyerahan Kunci Surau Taman Awam di Kuala Terengganu pada hari ini, 7 Ogos 2024.

Mengulas berhubung cadangan bagi melantik imam untuk mengimarahkan surau tersebut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu berkata, ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Imam bertugas insya-Allah, dalam beberapa hari ini kita akan putuskan. Kita telah berbincang dengan beberapa pihak untuk kita pesan supaya mereka boleh mengimarahkan surau ini khususnya pada waktu yang tertentu seperti waktu asar, magrib dan Isya.

“Tiga waktu ini biasa orang ramai jadi kita akan pastikan surau ini diimarahkan insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, sebanyak RM100,000 diperuntukan oleh anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad untuk menaik taraf surau awam Pantai Batu Buruk yang sudah berusia 20 tahun itu.

Pembinaan surau dan tandas di kawasan itu telah bermula sejak akhir Mei lalu dan siap pada Julai tahun ini. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -