
AYER KEROH: Negeri-negeri diperintah Perikatan Nasional (PN) iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu (SG4) disaran untuk memberi perhatian terhadap industri buluh yang disifatkan sebagai sumber kekayaan masa depan.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, selain digunakan secara konvensional sebagai perabot dan barangan hiasan, ia sebenarnya boleh menghasilkan tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam.
Jelas beliau, melalui proses pirolisis terhadap buluh, ia akan menghasilkan ‘biochar’ yang mempunyai terlalu banyak fungsi dan kegunaan.
Antaranya ujar beliau, sebagai bahan penapis air, makanan, konduktor elektrik, bahan binaan, ‘carbon remover’ dan juga untuk menyuburkan tanah pertanian.
Apa yang menarik, kata beliau, dalam menghasilkan ‘biochar’ daripada buluh itu, ia juga akan menghasilkan dua produk sampingan iaitu gas hidrogen dan cuka buluh.
Menurut Bakri, hidrogen yang terhasil daripada proses pirolisis terhadap buluh itu boleh digunakan sebagai tenaga untuk memutar turbin bagi menjana tenaga elektrik dengan cara yang lebih mesra alam.
“Bercakap mengenai kereta masa depan, ia dikatakan akan menggunakan hidrogen dan tidak lagi menggunakan bahan api fosil seperti petrol dan diesel yang mana akan mencemarkan alam sekitar. Hidrogen tidak membebaskan karbon,” katanya.
Katanya, pada masa kini 48 peratus proses menghasilkan elektrik di Malaysia adalah dengan menggunakan arang batu yang akan membebaskan gas rumah kaca seperti karbon dioksida yang menyumbang kepada berlakunya pemanasan global.
Malah, katanya, pada masa ini industri sawit sendiri mampu menghasilkan biomas daripada kelapa sawit yang menjadi tenaga boleh diperbaharui bagi menjana elektrik tanpa mencemarkan alam.
Beliau melihat bahawa buluh adalah merupakan salah satu komoditi yang mempunyai masa depan yang cerah berdasarkan kepada saiz pasaran di peringkat global tahun 2021 yang bernilai USD59.3 bilion meningkat kepada USD61.69 bilion pada tahun 2022.
“Kadar pertumbuhan industri buluh ini dianggarkan sekitar 4.5 peratus setahun dan dijangkakan pada tahun 2030 nilai pasaran industri buluh ini akan mencecah USD83.43 bilion,” jelas beliau.
Katanya, pada masa ini industri buluh belum lagi diberi perhatian oleh pihak kerajaan walaupun mempunyai Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Negara, selain ia tidak disokong oleh industri hiliran.
Kerana itu, jelas beliau, SG4 wajar mengambil peluang untuk menjalankan usaha bagi menceburi industri itu secara serius sebagai satu komoditi bakal menjana kekayaan baharu kepada negeri-negeri tersebut.
“Kalau kita lihat potensi buluh di Malaysia, sebenarnya kita ada lebih kurang 69 spesis buluh yang ada di negara kita ini yang boleh kita gunakan sebagai komoditi.
“Negeri yang paling banyak buluh di Malaysia ialah di Sarawak, Kelantan, Perak dan juga Pahang. Cuma kalau lihat industri buluh di Malaysia ini, ia hanya menyumbang RM20.7 juta kepada eksport pada tahun 2023,” katanya
Tambahnya, walaupun kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi menyatakan bahawa buluh memerlukan penanaman berskala besar untuk menjadi efisien dan praktikal, namun ia masih boleh dilaksanakan dengan yang sedia ada.
“Saya melihat di satu sudut yang lain di Malaysia ini banyak negeri yang ada buluh tumbuh secara semulajadi. Buluh ini juga sebenarnya sangat dekat dengan masyarakat orang asal di Kelantan, di Pahang dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, sebagai perbandingan, penanaman tumbuhan komoditi lain seperti sawit memerlukan kos untuk penanaman semula setelah mengeluarkan hasil dalam tempoh sekitar 25 tahun.
“Tetapi buluh tak perlu. Buluh ni bila kita tanam ia ‘invasive’. Ia akan berkembang sendiri. Kalau kita tak ambil buluh tu, ia akan terus membiak dan kita tidak perlu tanam semula.
“Sebab itu dikatakan buluh ni di antara sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampan dan mesra alam. Itu kelebihan buluh ini,” katanya.
Sebagai tanaman hutan, kata beliau, ia akan memberi hasil kepada kerajaan negeri melalui cukai hasil hutan manakala bagi Kerajaan Persekutuan pula mereka akan mendapat hasil melalui cukai eksport.
Tambahnya, beliau sangat gembira sekiranya SG4 dapat menyambut peluang itu dengan sebaiknya dan menjadi peneraju kepada industri itu yang mampu menjana pendapatan tinggi kepada negeri-negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 7/8/2024













