24 maut, hotel dibakar ketika rai peletakan jawatan PM Bangladesh

Sebuah hotel kediaman di daerah Jessore, Bangladesh marak terbakar pada hari ini, 6 Ogos 2024. (FOTO: Prothom Alo)
- Advertisement -

DHAKA: Sekurang-kurangnya 24 maut dan beberapa lagi cedera selepas beberapa individu  yang tidak dikenali bertindak membakar sebuah hotel kediaman di daerah Jessore, Bangladesh pada hari ini, Selasa (Ogos).

Hotel berkenaan dimiliki oleh Setiausaha Agung Liga Awami daerah Jessore, Shahin Chakladar.

Timbalan Pesuruhjaya, Abrarul Islam mengesahkan berita mengenai insiden tersebut, yang menurut laporan media tempatan, berlaku ketika beribu-ribu orang meraikan peletakan jawatan Perdana Menteri, Sheikh Hasina di pelbagai lokasi di ibu kota Bangladesh itu. 

- Advertisement -

Ketika sambutan itu, beberapa orang membakar hotel itu sekitar jam 4 petang waktu tempatan, dengan kebanyakan mangsa yang mati akibat lemas terhidu asap.

Antara mangsa, terdapat seorang warga Indonesia, seperti dilaporkan oleh Prothom Alo, dengan beberapa mayat ditemui di bar minuman keras di tingkat tiga hotel tersebut.

Terdahulu, CNN melaporkan Hasina telah meletak jawatan dan melarikan diri ke negara jiran India pada Isnin (5 Ogos) susulan penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya, selepas berminggu-minggu tunjuk perasaan anti-kerajaan yang menyebabkan sekurang-kurang 280 orang maut di negara Asia Selatan itu.

Detik kegembiraan tercetus di jalanan ketika penunjuk perasaan meraikan penghujung 15 tahun pemerintahan Hasina, masing-masing dengan menaiki kereta kebal dan memanjat patung bapa Hasina – pemimpin kemerdekaan Sheikh Mujibur Rahman, di Dhaka,  sambil menyerang kepala patung itu dengan kapak.

Hasina melarikan berhampiran New Delhi

Dalam ucapan kebangsaan, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman mengesahkan Hasina telah meletak jawatan dan berkata, tentera akan membentuk kerajaan sementara.

Bercakap kepada penunjuk perasaan, kebanyakannya warga Bangladesh dan pelajar muda, beliau berkata: “Apa sahaja tuntutan anda akan kami penuhi dan membawa kembali keamanan kepada negara, tolong bantu kami dalam hal ini, jauhi keganasan.

“Tentera tidak akan menembak sesiapa, polis tidak akan menembak sesiapa, saya telah memberi arahan,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan dari kementerian luar Bangladesh memberitahu CNN pada hari ini Selasa (6 Ogos) bahawa Hasina kini berada di lokasi yang ‘lebih selamat berdekatan dengan New Delhi’,

Imej menunjukkan api berkepul-kepul dari kenderaan berhampiran kediaman rasmi Hasina, dan penunjuk perasaan di dalam bangunan itu, memecahkan dinding dan merompak kandungannya.

Pada awal hari itu, tentera dan polis telah menyerang penunjuk perasaan yang berhimpun di kawasan itu, menurut laporan seorang wartawan yang bekerja untuk CNN di Dhaka.

Sekurang-kurangnya 91 orang terbunuh dan ratusan cedera pada  Ahad (4 Ogos) dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan menuntut kuota untuk kerja kerajaan dihapuskan dan peletakan jawatan perdana menteri. 

Penentang berhujah kuota pekerjaan perkhidmatan awam adalah diskriminasi.

Angka kematian pada Ahad itu, termasuklah 13 pegawai polis, adalah angka kematian tertinggi dalam tempoh sehari berbanding kesemua sebarang protes dalam sejarah negara itu.

Angka itu melepasi 67 kematian yang dilaporkan pada 19 Julai 2024, apabila golongan pelajar turun ke jalanan mengadakan protes, lapor Reuters

UNICEF pada hari Jumaat (31 Julai) lalu pula berkata, sekurang-kurangnya 32 kanak-kanak terbunuh dalam protes jalanan berkenaan pada bulan lepas itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -