
AYER KEROH: Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menzahirkan kesedihan atas pemergian Muhammad Nur Haikal Abdul Ghafar, 20, yang terlibat dalam kemalangan motosikal akibat anjing liar baru-baru ini.
Allahyarham Muhammad Nur Haikal yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat pendarahan di bahagian otak disahkan meninggal dunia hari ini.
Menurut Dr Yadzil, masalah anjing liar termasuk berkaitan binatang anjing peliharaan yang dibiarkan bebas tanpa diikat bukan suatu isu baru di negeri ini.
“Banyak aduan dan tragedi yang berlaku akibat anjing liar atau dibiarkan bebas ini. Segala aduan yang telah dilaporkan, secara langsung atau melalui media sosial bukan sekadar membantu pihak berkenaan mengambil tindakan tapi perlu dipandang serius.
“Ini bukan sekadar isu lokal di Jasin, tetapi melibatkan seluruh Melaka. Malah isu ini juga terdapat di seluruh negara. Tindakan tuntas dan komprehensif perlu diambil agar tragedi buruk yang menimpa adik Haiqal ini tidak berulang,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dihantar kepada _Harakahdaily_ sebentar tadi.
“Keselamatan dan harga nyawa seorang manusia mesti diutamakan daripada rasa cinta kepada haiwan. Tindakan tegas harus dikenakan kepada pihak yang terbabit.
“Janganlah pihak berwajib hanya fokus kepada binatang ternakan seperti lembu yang bebas berkeliaran berbanding anjing semata-mata mempunyai nilai,” katanya.
Beliau dalam kenyataannya itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga Allahyarham adik Haiqal ditempatkan bersama dengan para nabi, siddiqiin, syuhada dan solihin.
“Semoga Encik Abd Ghafar dan isteri serta keluarga tabah menerima kehilangan anak sulung mereka,” katanya.
Allahyarham Haikal, yang menetap di FELDA Air Kangkong Jasin terlibat dalam satu kemalangan pada Ahad di Jalan Taman Maju ke Lipat Kajang berhampiran stesen minyak Shell yang dikatakan akibat terlanggar anjing liar.
Semalam Dr Yadzil sewaktu menziarahi Allahyarham di Hospital Besar Melaka telah mengeluarkan kenyataan menggesa agar perbincangan dan kerjasama perlu diwujudkan antara semua pihak.
Ia, kata beliau, termasuk pihak Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ahli Majlis, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Penduduk, Jabatan dan juga NGO pencinta haiwan agar masalah ini diselesaikan secara tuntas.
Selain itu, beliau juga menggesa agar satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas perlu diwujudkan agar tindakan yang akan dilakukan pada masa akan datang menjadi lebih lancar.
Tambah beliau dalam kenyataannya semalam, semua binatang peliharaan seperti anjing wajib mempunyai lesen dan ditambat, manakala anjing-anjing tanpa lesen yang dibiarkan bebas dan liar perlu ditangkap segera. – HARAKAHDAILY 6/8/2024











