TMK2025: Kerajaan perkasa lokasi potensi kunjungan

- Advertisement -

JERLUN: Sebagai persediaan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, lokasi dan perusahaan yang berpotensi dijadikan tarikan dan destinasi pelancongan telah diberikan perhatian sewajarnya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin sehubungan itu mengadakan lawatan ke beberapa sasaran di DUN Kota Siputeh, hari ini.

Antaranya, perusahaan Batik Lindungan Bulan yang menurut beliau berpontensi dijadikan daya tarikan pelancong terutama pada TMK 2025 akan datang.

“Perusahaan Batik Lindungan Bulan ini berpontensi menjadi tarikan pelancong cuma perlu diperkasakan dan dilipat gandakan promosi,” kata beliau.

Dalam pada itu Dato’ Salleh juga dibawa melawat Gua Kerbau yang mempunyai daya tarikan tersendiri, namun dilihat agak terbiar kerana tidak dimajukan.

Justeru katanya, pihaknya akan cuba membangunkan serta memperindahkan semula gua berkenaan untuk dijadikan salah satu tarikan pelancong ke kawasan Jerlun khususnya sempena TMK 2025 ini.

“InsyaAllah di bawah portfolio saya, kita akan bantu memperindahkan semula Gua Kerbau supaya menjadi pusat tarikan pelancong terutama menjelang TMK ini,” tambah ADUN Kubang Rotan itu lagi.

Selain itu beliau juga dibawa melawat pusat Pembuatan Wau di Kampung Siputeh dan menziarahi Makam Puteri Lindungan Bulan.

Pihak beliau turut memberikan sedikit sumbangan untuk menyuntik semangat kepada mereka yang terlibat.

Turut mengiringi beliau, antaranya Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad dan ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim serta Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -