
KUALA TERENGGANU: Pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu FC telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan kawasan khas untuk penonton wanita dan keluarga.
Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abd Karim berkata, Keputusan itu dicapai setelah pertimbangan rapi oleh pihak pengurusan, berikutan isu percampuran penonton lelaki dan perempuan yang timbul sewaktu perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC dan Selangor FC.
Hishamuddin berkata, inisiatif itu akan bermula pada perlawanan Terengganu FC menentang Negeri Sembilan FC pada 30 Julai 2024.
“Langkah ini juga bertepatan dengan acara Matchday x Family Day yang dianjurkan oleh Terengganu FC.
“Bagi merealisasikan usaha ini, pihak pengurusan stadium akan memperkenalkan pintu khas yang akan digunakan oleh penonton wanita dan keluarga.
“Namun, memandangkan sifat stadium yang terbuka, penonton wanita tidak akan dihalang memasuki dari mana-mana pintu dan boleh memilih untuk duduk di mana-mana kawasan tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, inisiatif itu diadakan bertujuan memberikan keselesaan dan keamanan yang lebih kepada penonton wanita dan keluarga.
“Pihak Kerajaan Negeri amat mengharapkan agar lokasi ini menjadi pilihan kaum wanita dan keluarga.
“Sokongan daripada kaum wanita dan keluarga akan menyemarakkan lagi usaha kita bersama untuk mendokong tuntutan beragama dan bersyariah.
“Pihak kerajaan negeri berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak. Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan Terengganu FC,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024




















