Kemaruk ’selfie’ dalam ibadah

- Advertisement -

TUJUAN ibadah haji pada zaman dahulu adalah untuk menyatukan umat Islam. Ketika orang Islam dahulunya dijajah misalnya. Pada musim hajilah mereka berhimpun, bertemu dan berbincang bagaimana nak menghadapi penjajah di samping memberikan semangat. Antara faktor kebangkitan Islam adalah haji.

Semasa Belanda memerintah Indonesia, dia pernah mengharamkan orang Islam daripada mengerjakan haji. Sebab mereka yang nak mengerjakan haji akan singgah di Sri Lanka terlebih dahulu. Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, seorang pembesar kesultanan Banten yang kalah dalam peperangan telah ditahan oleh Belanda dan ditempatkan di Sri Lanka.

- Advertisement -

Jadi, orang Indonesia yang mempunyai semangat berjuang akan singgah berjumpa dengannya. Syeikh tersebut memberikan semangat kepada mereka. Semangat perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia sentiasa membara.

Sehingga akhirnya, Belanda tidak membenarkan mereka mengerjakan haji. Sebab dia mengetahui bahawa mereka akan singgah bertemu dengan Syeikh itu. Apabila ada yang cuba untuk curi-curi keluar, Syeikh itu dibawa lari ke Cape Town, Afrika Selatan. Syeikh itu meninggal di sana. Mereka sudah tidak dapat bertemu dengannya lagi kerana berada sangat jauh dengan Makkah. Nak kata, begitulah orang memanfaatkan haji.

Tokoh-tokoh besar seperti Rashid Ridho dan Muhammad Abduh berceramah di Arafah. Mereka memberikan semangat kepada orang Islam untuk berjuang menentang penjajahan. Ulama-ulama dari Patani dan Tanah Melayu juga berhimpun di Makkah. Besarnya ibadah haji kepada umat Islam.

Sekarang, kita telah hilang nilai dalam ibadah. Bagi sesetengah orang, haji umpama melancong. ‘Upload’ di media sosial dan ‘selfie’. Sesetengah yang lain pula pergi kerana nak berniaga. Mencari emas nak bawa balik. Ketika waktu solat, dia tidak solat. Tidak membaca al-Quran kerana tujuannya lain. Kita telah hilang nilai agama.

Ibadah ini menjadi hanya nak suka-suka. Tengah duk tawaf masih ber’selfie’. Kita pergi kerana nak beribadah. Tawaf merupakan ibadah, jadi sepatutnya kita mengosongkan daripada perkara-perkara lain. Setelah selesai tawaf, nak ber‘selfie’ pun takpelah.

Serupa dengan kita bercakap-cakap dalam solat. Ada seorang hamba Allah meletakkan telefon bersandar dinding bertujuan untuk merakamkan secara ‘live’ situasi dia sedang menunaikan solat di sana. Suara ahli keluarganya daripada telefon tersebut juga turut kedengaran. Ketika solat, matanya tertumpu kepada telefon tersebut.

Inilah masalah akhir zaman. Kita tidak memahami ibadah, jadi ibadah menjadi sekadar adat sahaja. Makkah menjadi tempat pelancongan. Kebetulan sekarang Arab Saudi menjadikan haji sebagai produk pelancongan.

Dia meng’upgrade’ kemudahan di sana. Baguslah cuma tujuannya bukan kepada haji dan umrah, tetapi lebih kepada pelancongan. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -