Amaran Iran buat Israel: ‘Jangan serang Lubnan’

Masoud Pezeshkian (kiri) dan Emmanuel Macron
- Advertisement -

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberi amaran kepada Zionis Israel agar tidak menyerang Lubnan ketika ketegangan memuncak berikutan serangan maut roket di wilayah Golan Heights yang dikawal Israel.

“Rejim Zionis (Israel) akan membuat kesilapan besar dengan kesan yang berat jika ia menyerang Lubnan,” kata Pezeshkian ketika panggilan telefon dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menurut laman web Presiden Iran itu.

- Advertisement -

Beliau turut menuduh Israel telah melanggar semua rangka kerja dan undang-undang antarabangsa dalam jenayah perangnya terhadap rakyat Palestin.

Pezeshkian memikul tanggungjawab rasmi sebagai presiden pada Ahad selepas pengesahan rasmi daripada pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamanei, dan dijadualkan akan mengangkat sumpah di parlimen pada hari ini, lapor Arab News.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani pada hari Ahad memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang ‘pengembaraan’ ketenteraan baharu di Lubnan boleh membawa kepada akibat yang tidak dijangka dan perluasan skop ketidakstabilan, ketidakamanan, dan peperangan di rantau itu.

“Israel menyalahkan Hizbullah untuk mengalihkan pandangan umum dan perhatian dunia daripada jenayah besar-besarannya. Israel tidak mempunyai kuasa moral sedikit pun untuk mengulas,” katanya. 

Zionis Israel sebelum ini berikrar untuk membalas serangan selepas serangan di padang bola sepak di Majdal Shams, sebuah bandar Arab Druze di Golan Heights yang dikawalnya dan membunuh 12 individu pada Sabtu lepas.

Israel dalam pada itu menuduh kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan bertanggungjawab atas serangan itu, yang kemudiannya dinafikan oleh Hizbullah.

Iran tidak mengiktiraf Israel dan telah menjadikan sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai pusat dasar luarnya sejak revolusi Islam pada 1979. – Agensi/– HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -