
KUALA LUMPUR: “Pengarah Pilihan Raya Umno bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dilihat mungkin mahu menghantar mesej bahawa DAP boleh ‘dijinakkan’ walaupun dianggap ‘Abang Long’ dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).”
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ini berikutan Ku Li bertegas tidak mahu DAP turun membantu Umno berkempen dalam PRK Nenggiri kali ini.
“Bolehkah rakyat Kelantan pengundi Nenggiri terima mesej itu? Konon DAP boleh ‘dijinakkan’?
“Pengundi di Sungai Bakap yang duduk bawah Kerajaan PH-DAP pun menolak dan tak dapat terima, takkan rakyat Kelantan boleh terima?” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Roslan menyatakan beliau berasa pelik dengan sikap Ku Li walaupun menyedari bahawa Umno merupakan komponen dalam kerajaan campuran PH-BN yang di dalamnya ada DAP, namun bertegas tidak mahu DAP turun membantu.
“Ramai pimpinan Umno cuba menyejukkan sikap penolakan Ku Li itu tetapi sebagai ‘Panglima Perang’, mereka sedar Ku Li berhak tentukan apa yang terbaik bagi kemenangan calon mereka,” jelas beliau.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa DAP yang pada awalnya melalui kenyataan Pengerusi Negerinya telah sanggup mahu turun membantu, namun terpaksa menarik balik niatnya sehingga Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Cheng mengeluarkan kenyataan bahawa DAP bersedia membantu kempen BN pada PRK DUN Nenggiri di Kelantan pada bulan depan sekiranya terdapat permintaan daripada mana-mana parti gabungan Kerajaan Campuran.
Sehubungan itu, tambah Roslan, tindakan DAP dilihat pelik apabila selaku parti komponen terbesar dan paling berpengaruh dalam kerajaan campuran PH-BN tetapi tidak boleh turun membantu.
“Alasan Ku Li (adalah kerana) DUN ini majoriti Melayu dan pimpinan DAP pun bukan fasih berbahasa Melayu. Sebenarnya banyak lagi alasan boleh diberi, yang mana Ku Li selaku Pengarah cukup tahu dan masak.
“Maka termangulah DAP. Kalau boleh selaku ‘Abang Long’ mereka mahu turun, malah ketumbukan soldadu DAP Melayu mereka pun dah sedia untuk dikerah walau pimpinan kanannya sebagaimana dakwa Ku Li tak fasih berbahasa Melayu.
“DAP mahu tunjukkan walau di kawasan majoriti Melayu mereka boleh bergerak akan tetapi pada pandangan Ku Li mereka lebih liabiliti dari boleh membantu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024




















