
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri masih menunggu baki royalti petroleum atau wang ehsan berjumlah RM367.15 juta daripada kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil perundingan terdahulu, kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembayaran sebanyak RM792.32 juta kepada kerajaan negeri.
Namun menurut beliau setakat ini, hanya RM425.17 juta telah diterima dan dicatatkan dalam akaun negeri.
“Kerajaan negeri masih belum menerima baki RM367.22 juta setakat Julai,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) yang ingin tahu peluang untuk mendapatkan keseluruhan tuntutan royalti bagi tahun 2024 dan tindakan lanjut yang akan dilakukan bagi memastikan tuntutan royalti dapat diterima semaksimum mungkin.
Samsuri turut menjelaskan bahawa jumlah yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2023 adalah sebanyak RM1.524 bilion, namun hanya RM802.18 juta diterima sepanjang tahun tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus berpegang teguh kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian-perjanjian berkaitan dalam menuntut hak rakyat dan negeri Terengganu.
Menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) mengenai pengurusan urusan pentadbiran dan pembangunan berikutan kekangan kewangan, Ahmad Samsuri menyatakan bahawa kerajaan negeri komited untuk mengukuhkan kewangan dengan mengawal perbelanjaan, mengoptimumkan hasil daripada sumber sedia ada, serta meneroka dan mengeksploitasi sumber baharu.
“Bagi mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada, kerajaan negeri akan menambah baik aspek perundangan dan melaksanakan kaedah terbaik untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil melalui penguatkuasaan dan digitalisasi,” ujarnya.
Beliau juga menekankan pentingnya usaha meningkatkan hasil cukai dan hasil bukan cukai Terengganu sekurang-kurangnya 10 peratus setahun, seperti yang digariskan dalam Ucapan Belanjawan 2024.
“Usaha itu penting bagi memastikan menjelang tahun 2030, hasil janaan negeri akan mewakili sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan hasil, berbanding hanya 10 hingga 15 peratus pada masa lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024




















