
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan negara Perancis sebagai kaya dengan kebudayaannya yang tersendiri, malah Ahli Kesatuan Eropah (EU) itu juga terbangun oleh banyak sejarah.
Namun kesali beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu, temasya pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung kelmarin telah menjadi pesta untuk menormalisasi pengikut kaum Nabi Luth AS dan menghina Nabi Isa AS.
“Ambe (saya) tengok, inilah petanda keruntuhan masyarakat Barat yang sudah sampai kemuncak,” ujar terhadap persembahan sketsa dan lukisan mural yang berimejkan LGBTQ+ pada acara peringkat dunia tersebut.
Persembahan penganjur menampilkan karya Leonardo da Vinci ‘The Last Supper’ yang dicemuh jijik oleh kebanyakan orang dari hampir semua agama, selain penyanyi ketika itu dalam keadaan hampir berbogel kononnya imej Dewa Wain Yunani.
Turut ‘dihidangkan’ pada siaran langsung ditonton seluruh negara itu adalah seorang ikon LGBTQ+ negara tersebut, selain kepala wanita dipenggal dipercayai merujuk sejarah Revolusi Perancis 1789 di mana Ratu Perancis, Maria Antoinette dihukum.
ADUN Batu Buruk tersebut sebelum ini semasa sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia pernah menyokong ketegasan Putrajaya yang ketika itu diterajui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menolak aktiviti LGBTQ.
Menurut beliau, penolakan terhadap perkara tersebut harus didokong oleh semangat tanggungjawab kolektif semua pihak, termasuk juga ke atas peruntukan hak asasi konvensyen antarabangsa beracuan Barat yang bertentangan dengan nilai Islam.
Tegasnya, kebebasan yang dijamin di dalam Perlembagaan bukan bermaksud kebebasan mutlak, tetapi mesti dipertanggungjawabkan di bawah had sewajarnya serta tidak merosakkan nilai Islam dan budaya masyarakat Malaysia.
“Ya Allah lindungilah kami dari kemurkaan-Mu atas apa yang dilakukan oleh golongan fasiq ini,” doa beliau terhadap perkembangan terkini sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia itu. – HARAKAHDAILY 29/7/2024











