Isu ekonomi rakyat: Kerajaan jangan ‘syok sendiri’

Alex Shee Chee Weng
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan jangan bersifat ‘syok sendiri’ dengan mengatakan bahawa mereka berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan tegar.

Seorang ahli politik bebas, Alex Shee Chee Weng berkata, kenyataan kerajaan yang kononnya ‘berjaya menyelesaikan kemiskinan tegas’ adalah berbeza dengan realiti sebenar yang berlaku kepada ramai masyarakat pada hari ini.

“Sejujurnya tiada Perdana Menteri di mana-mana negara pun dapat menghapuskan masalah kemiskinan tegar ini.

- Advertisement -

“Malah, saya sudah beberapa kali ‘turun padang’ melihat sendiri ramai rakyat pada hari ini hidup sangat susah,” katanya dalam sesi Bicara Demi Negara yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini, hari ini.

Turut hadir pempengaruh media sosial, Aidil Yunus (atau YB Viral); aktivis bebas, Siti Zulaika Olivia; dan artis veteran, Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid).

Menurut beliau, kebanyakan rakyat pada hari ini sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Tambahnya, kerajaan seolah-olah tidak melihat perkara tersebut secara mendalam lebih-lebih lagi apabila melibatkan masalah kemiskinan bandar ini.

“Hakikatnya, rakyat memang sedang bergelut dengan pelbagai kos sara hidup dan sememangnya berbeza dengan kenyataan kerajaan yang kononnya berjaya menghapuskan golongan miskin tegar.

“Saya rasa kerajaan sendiri patut turun padang dan melihat sendiri apa yang berlaku dan bukannya mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Lagipun, kemiskinan bandar yang berlaku pada hari ini bukanlah berpunca daripada rakyat semata-mata tetapi polisi kerajaan itu sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, Pengarah Program MBA dari Putra Business School (PBS), Prof  Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyatakan bahawa Terma ‘menoktahkan kemiskinan’ adalah sesuatu yang mustahil dalam sistem ekonomi berasaskan hutang.

Kata beliau, tidak semua data ekonomi benar-benar memaparkan realiti sebenar ekonomi rakyat itu sendiri.

Sehubungan itu, Alex menggesa pihak kerajaan supaya melihat semula dengan turun padang keadaan ekonomi rakyat itu sendiri.

Kata beliau lagi, ini kerana rakyat sudah pun terbeban dengan keadaan ekonomi yang sedia ada.

“Maka saranan saya, kerajaan jangan bersifat syok sendiri dalam isu sebegini kerana realitinya adalah berbeza dengan apa yang mereka katakan,” katanya.– HARAKAHDAILY 28/7/2024

- Advertisement -