
KUALA LUMPUR: Kenapa kerajaan lebih percayakan bangsa yang terkutuk dalam menguruskan lapangan terbang di bawah kawalan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) ini?
Seorang aktivis Palestin, Mythreyar Mutturamalinggam berkata, MAHB telah membuat keuntungan yang banyak untuk negara ini.
“Malah, kita juga mempunyai kepakaran tersendiri dalam kalangan rakyat negara ini dalam pengurusan MAHB.
“Namun, kenapa perlu beri MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai syarikat BlackRock Inc yang jelas menyokong rejim Zionis,” katanya ketika sesi Bicara Demi Negara yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah seorang pempengaruh media sosial Aidil Yunus (atau YB Viral), aktivis bebas Siti Zulaika Olivia dan seorang artis veteren Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Intan Tengku Abdul Hamid.
Menurut beliau, MAHB merupakan aset negara yang sememangnya perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan.
Tambahnya, seharusnya tiada sebarang alasan untuk menjual sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock.
“Bagi saya, tidak ada keuntungan pun untuk kerajaan melakukan sedemikian memandangkan ianya melibatkan aset negara ini.
“Akan tetapi, saya tidak faham kenapa kerajaan masih bertegas untuk meneruskan urusan jual beli saham MAHB ini kepada mereka.
“Kita sendiri melihat bagaimana orang-orang Zionis Israel menjajah tanah Palestin sedikit demi sedikit dan perkara tersebut boleh berlaku dalam negara ini jika perjanjian sebegini masih diteruskan.
“Semua orang boleh mengkaji dan menilai sendiri (verify) syarikat BlackRock supaya boleh lihat sendiri bahayanya mereka jika mula mengawal MAHB ini,” jelasnya.
Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan BlackRock.
Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Mythreyar menyatakan kerajaan seharusnya memikirkan nasib yang akan dihadapi oleh mana-mana generasi akan datang sekiranya masih meneruskan penjualan sebahagian saham MAHB kepada BlackRock.
Kata beliau lagi, hal ini kerana sudah terlalu ramai rakyat negara ini yang sedang bergelut dalam ekonomi pada masa ini.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa jangan disebabkan terlalu nak membangunkan ekonomi negara dengan memangsakan kehidupan rakyat itu sendiri.
“Kita tidak mahu mana-mana generasi yang akan datang perlu menanggung akibatnya akibat daripada tindakan kerajaan itu sendiri yang menjual sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock yang jelas bersifat pro-Zionis.
“Lagipun, apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin juga boleh berlaku dalam negara ini sekiranya kerajaan tidak berjaga-jaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2024




















