
KUALA LUMPUR: Kemiskinan bandar sudah semakin banyak berlaku dalam negara ini.
Yang Dipertua PAS Petaling Jaya, Ustaz Zubir Embong berkata, kemiskinan bandar juga berkaitan dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam pelbagai masyarakat.
“Antaranya ialah masalah rumah tangga, keciciran pelajar dalam urusan pembelajaran, isu hutang Ah Long, dan seumpamanya.
“Ini semua ada kaitan dengan lingkaran kemiskinan bandar yang berlaku pada masa ini,” katanya dalam sesi Bicara Demi Negara yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah pempengaruh media sosial, Aidil Yunus (atau YB Viral);aktivis bebas, Siti Zulaika Olivia;dan artis veteren Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid).
Menurut beliau, sudah terlalu banyak isu kewangan yang berlaku dalam sesebuah keluarga yang menyebabkan ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa bekerja lebih daripada tujuh jam.
Tambahnya, golongan pelajar tersebut terpaksa melakukan sedemikian demi mencari wang tambahan.
“Ini juga berlaku kepada ramai ibu bapa yang terpaksa membuat pekerjaan tambahan kerana wang perbelanjaan mereka masih tidak mencukupi.
“Malah, mereka sendiri terbeban dengan keadaan ekonomi yang semakin terdesak dari semasa ke semasa.
“Tambahan pula, apabila perkara sebegini kerap berlaku maka anak-anak akan kurang mendapat kasih sayang daripada ibu bapa itu sendiri,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau juga menyatakan terdapat satu senario yang mana walaupun anaknya sudah berkahwin tetapi terpaksa duduk di rumah keluarga mereka.
Kata beliau lagi, ini kerana ramai dalam kalangan mereka yang masih tidak mampu mempunyai rumah sendiri akibat kenaikan kos sara hidup.
“Sekarang ini nak menyewa rumah pun ada yang harganya semakin naik dari semasa ke semasa.
“Jadi, ini menyebabkan kehidupan mereka semakin lama semakin tersepit lebih-lebih lagi yang menyebabkan berlakunya tekanan hidup terhadap diri mereka.
“Ada yang sampai pinjam Ah Long, dan berlakunya masalah-masalah sosial seperti hisap gam, dadah dan sebagainya.
“Jadi, perkara-perkara sebegini perlu diambil perhatian sepenuhnya memandangkan isu sebegini adalah sangat serius,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2024




















