Netanyahu hilang sokongan sekutu

Netanyahu bersama Biden yang menarik diri bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat.
- Advertisement -

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berangkat ke Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 22 Julai lalu, meninggalkan konflik di negaranya yang semakin meruncing akibat perang di Gaza ditambah pula serangan di Lubnan dan Yaman.

Lebih sebulan lalu, Israel memutuskan untuk menyerang sekutu Hamas di Lubnan, iaitu Hizbullah susulan meningkatnya pertempuran rentas sempadan dengan kedua-dua pihak berbalas tembakan hampir setiap hari.

- Advertisement -

Netanyahu pula mengatakan pihaknya akan mengambil segala bentuk pendekatan demi menjamin kemenangan.

Dalam pada itu, Tentera Udara Israel menyerang kelompok Houthi berhampiran Pelabuhan Hodeidah di Yaman mengakibatkan kematian tiga orang dan mencederakan 87 orang yang lain. Serangan udara yang turut menyasarkan fasiliti minyak dan stesen janakuasa itu telah menyebabkan kebakaran besar.

Tentera Udara AS pula menafikan penglibatan negara itu dalam serangan itu walaupun Tentera Udara Israel menggunakan jet pejuang F-15 dan F-35 keluaran AS.

Pemergian Netanyahu ke pusat pentadbiran AS dipercayai mempunyai kaitan dengan pengumuman Presiden Joe Biden untuk menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya presiden AS.

Setakat ini, Parti Demokrat bakal mencalonkan Naib Presidennya, Kamala Harris sebagai calon presiden AS yang akan menggantikan Joe Biden. Keupayaan Harris untuk mengalahkan calon Republikan masih belum jelas di samping insiden cubaan bunuh calon presiden Donald Trump, parti lawannya baru-baru ini.

Terdahulu, Netanyahu sendiri dilihat enggan mematuhi saranan AS dalam penyelesaian konflik di Gaza menyebabkan Presiden Joe Biden tidak menyokong langkah ketenteraan yang diambil oleh Israel. Semua senario luaran ini mempengaruhi kerjaya politik Netanyahu dalam menghadapi politik dalaman Israel yang turut meruncing seiring dengan siri peperangan yang sudah berlanjutan hampir 10 bulan.

Hal ini tentu memberi kesan ke atas rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di saat Netanyahu sangat memerlukan sokongan AS setelah tindakannya merumitkan lagi penyelesaian konflik berdarah di rantau tersebut dengan ditambah serangan di Lubnan dan Yaman.

Arab Saudi yang dilihat sebagai sekutu AS juga menyatakan pendirian berlawan dengan Israel dalam perkembangan terbaru ini. Kementerian Luar Arab Saudi, menyatakan bahawa serangan Israel terhadap Pelabuhan Hodeidah, Yaman memburukkan ketegangan sedia ada di rantau tersebut.

Selain itu, Arab Saudi meminta Israel menghentikan tindakan yang sedang dilakukan untuk mengakhiri perang di Gaza serta menyeru semua pihak untuk menahan diri agar menjaga keselamatan rakyat di negara yang terlibat. – HARAKAHDAILY 27/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -