
PARIS: Meraikan reputasinya sebagai tempat lahirnya revolusi, Paris memulakan Sukan Olimpik Musim Panas pertamanya dalam satu abad pada hari Jumaat dengan upacara pembukaan yang dibasahi hujan.
Olimpik Paris 2024 mencipta sejarah apabila buat julung-julung kali dalam sejarah Sukan Musim Panas Olimpik, upacara pembukaan diadakan di luar stadium – dengan perarakan bot menyusuri Sungai Seine, tatkala City of Light ini mengalu-alukan atlet terhebat dunia untuk acara sukan ekstravaganza tersebut.
Majlis dimulakan dengan video legenda bola sepak Perancis Zinedine Zidane, yang membawa obor dalam perjalanan luar biasa melalui Metro, dan katakombe Paris.
Dibasahi hujan lebat yang melanda, kira-kira 300,000 pengunjung yang hadir berbaris di tebing sungai untuk bersorak menyaksikan siri acara yang menonjolkan kekayaan warisan sejarah dan budaya Perancis – perarakan barisan athlet global termasuk dari Malaysia dan Palestin yang bakal beraksi di gelanggang Olimpik Paris 2024, yang berlangsung sehingga 11 Ogos ini.

Lapan puluh lima bot berlayar dari bawah Jambatan Austerlitz, setiap satu membawa atlet dari 204 negara termasuk Malaysia dan Palestin; dan Pasukan Olimpik Pelarian di bawah arahan artistik pengarah dan pelakon Perancis Thomas Jolly.
Mereka memulakan perarakan sejauh 6 kilometer di sepanjang Sungai Seine, sebelum tiba di Pont d’Iéna (Jambatan Jena), lokasi di mana Menara Eiffel berdiri megah.Bot-bot itu melayari Sungai Seine, melepasi beberapa mercu tanda bersejarah dan pelancongan yang paling ikonik di Paris.

Perjalanan itu termasuk pemandangan Katedral Notre Dame, Dewan Bandaraya Paris, Muzium Louvre, Taman Tuileries, Monumen Les Invalides, Grand Palais dan Menara Eiffel, yang mempamerkan warisan budaya bandar yang kaya.
“Hujan tidak dapat menghalang kami,” kata bintang bola keranjang Amerika Syarikat LeBron James, memakai ponco plastik (seakan baju hujan) bersama-sama pembawa bendera Amerika yang lain, pemain tenis Coco Gauf ketika menyertai perarakan tersebut.

Acara pembukaan Olimpik Paris 2024 turut menghimpunkan orang kenamaan yang terkenal, termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres; Presiden Perancis, Emmanuel Macron, serta Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, antara lain, hadir pada majlis itu.
Kehadiran Gutteres dan Macron, serta atlet Palestin dan dari negara haram, Israel segera mengingatkan kepada perang genosid rejim Zionis yang masih lagi meletus di Semenanjung Gaza pada ketika ini sejak ia tercetus pada 7 Oktober 2023.

Dengan laporan bahawa keselamatan tambahan diadakan untuk atlet Israel, ditambah dengan protes agar Israel diharamkan daripada menyertai Olimpik Paris 2022, dan atlet Rusia telah diharamkan daripada turut serta atas dakwaan pencerobohan ke atas Ukraine, justeru elemen geopolitik telah menjadi ‘penceroboh yang tidak diingini’ di Olimpik kali ini.
Aspek keselamatan upacara pembukaan Olimpik Paris 2024 ini dilaporkan melibatkan kira-kira 45,000 pegawai polis dan separa tentera bertugas, bersama-sama 10,000 askar dan 22,000 pengawal keselamatan persendirian.

Penembak tepat, dan kamera yang ditambah dengan teknologi kecerdasan pintar (AI) telah digunakan, dengan ruang udara dan kawasan sekitar Seine ditutup, khusus untuk acara pembukaan Olimpik Paris 2024.
Acara pembukaan yang sukses berlangsung dengan aman itu kini secara rasminya telah membuka gelanggang Olimpik Paris 2024 yang bakal menyaksikan 10,500 atlet global dalam aksi pertarungan sukan untuk menggapai impian mereka dan mengubah prestasi serta kelangsungan masa depan kehidupan masing-masing. -Agensi/– HARAKAHDAILY 27/7/2024





















