
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat lebih daripada menyediakan saranan semata-mata dalam isu Palestin.
Penceramah Sejarah Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IIAM), Puan Zahara Sulaiman berkata, sudah banyak kali dunia menyaksikan kezaliman negara haram Israel terhadap rakyat Palestin.
“Namun begitu, kerajaan Malaysia pada hari ini hanya bersuara sekadar di meja masing-masing sahaja sedangkan kita boleh buat lebih daripada itu,” katanya.
Menurut beliau, sudah beberapa kali negara haram Israel telah melanggar perintah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan terus melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Tambah beliau, ini jelas menunjukkan bahawa bersuara di meja PBB sahaja masih lagi tidak mencukupi dalam membela nasib rakyat Palestin.
“Oleh sebab itu, kita perlu menggesa kerajaan supaya kena membuat lebih hanya daripada itu dalam membela nasib rakyat Palestin ini.
“Ini kerana walaupun kezaliman negara haram Israel semakin meningkat tetapi sangat sedikit negara yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk membela mereka.
“Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam isu sebegini, maka apa yang ingin kita jawab di hadapan Allah S.W.T. di akhirat nanti?,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Suara Kemanusiaan Gaza yang diadakan di Dewan Majlis Perundangan Melayu, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail; Pengerusi Pembela Lukman Sheriff Alias; Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) Muhammad Fauzi Asmuni; Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.
Sehubungan itu, Puan Zahara menyatakan tujuan program pada hari ini diadakan adalah untuk menggesa kerajaan pada hari ini supaya bukan sahaja lebih peka terhadap isu rakyat Palestin tetapi juga membuat lebih daripada sekadar bersuara semata-mata.
Kata beliau lagi, rakyat Palestin hanya ingin mempertahankan tanah mereka daripada terus dijajah oleh negara haram Israel itu sendiri.
“Jadi, dengan cara ini kita menggesa supaya kerajaan bertindak lebih daripada itu dalam membela rakyat Palestin.
“Ini kerana kita harus faham bahawa isu Palestin bukan sekadar konflik semata-mata tetapi merupakan bentuk penjajahan negara haram Israel terhadap tanah Palestin itu sendiri.
“Sepertimana saya nyatakan bahawa sebenarnya kita boleh buat lebih daripada sekadar bersuara semata-mata mengenai isu Palestin ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2024




















