
KUALA LUMPUR: Banyak kuasa pemimpin negara yang digulingkan akhirnya akan diperintah oleh golongan yang bersifat pro-Barat.
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni berkata, perkara-perkara sebegini bukan sahaja berlaku dalam Palestin tetapi juga di negara-negara Arab.
“Kita lihat apa yang berlaku di Libya dan peristiwa kebangkitan orang-orang Arab (Arab Spring) yang mana mula-mula pemimpin digulingkan tetapi akhirnya golongan yang sama juga yang akan memerintah,” katanya ketika berucap dalam Forum Suara Kemanusiaan Gaza yang diadakan di Dewan Majlis Perundangan Melayu, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail; Pengerusi Pembela Lukman Sheriff Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok Kamaruzaman Mohamad; Penceramah Sejarah Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IIAM) Puan Zahara Sulaiman dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.
Menurut beliau, Palestin merupakan antara negara yang menjadi mangsa kepada perkara tersebut yang mana pada ketika itu pemimpin organisasi kerajaan Palestin iaitu Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di bawah Yasser Arafat menentang rejim Zionis Israel.
Tambah beliau, pada ketika itu juga kerajaan Palestin benar-benar sedang berperang dengan negara haram itu sendiri bermula pada tahun 1948 yang lalu.
“Namun begitu, negara haram tersebut telah berjaya menghentikan perjuangan tersebut dengan kononnya memberikan kemerdekaan kepada Yasser Arafat.
“Maka kesannya, kerajaan Palestin pun menghentikan peperangan dengan negara haram Israel tetapi rakyat Palestin masih terus ditindas.
“Ini kerana PLO sendiri pun telah berkompromi dengan negara haram tersebut yang menyebabkan munculnya satu lagi perwira yang masih memperjuangkan rakyat Palestin itu sendiri dalam apa jua keadaan iaitu Hamas
“Oleh sebab itu, wujudnya gerakan Intifada terhadap negara haram Israel memandangkan kerajaan Palestin itu sendiri pada ketika itu sudah pun berkompromi dengan negara haram tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Muhammad Fauzi menyatakan ini merupakan satu daripada kaedah penjajahan yang dilakukan oleh barat terhadap ramai umat Islam.
Kata beliau lagi, Mesir juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa sebegitu yang mana pada mulanya diperintah Presidennya, Mohamed Morsi Eissa al-Ayya tetapi kemudiannya digulingkan dan digantikan oleh pemimpin yang bersifat pro-Barat.
“Itu sebabnya banyak pemimpin yang digulingkan akan terus digantikan oleh golongan sedemikian. Maka kita perlu benar-benar peka mengenai isu sebegini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2024




















