Konflik Zionis Israel – Palestin masuki fasa baharu

Anggota polis Israel memeriksa kawasan di Tel Aviv selepas serangan dron Houthi.
- Advertisement -

DALAM beberapa hari ini, perkembangan di Timur Tengah begitu meruncing yang menjurus kepada pertembungan lebih besar antara Mihwar al-Tatbi’ (Orbit Normalisasi) yang diketuai oleh Zionis Israel serta sekutunya dan Mihwar al-Muqawamah (Orbit Penentangan) yang diketuai oleh Iran dan sekutunya.

Serangan Yaman yang dipimpin oleh kumpulan Ansorullah (Houthi) terhadap Zionis Israel pada 20 Julai lalu buat kali pertama menyasarkan ibu negara Israel, Tel Aviv, menyebabkan seorang terbunuh dan beberapa orang lagi cedera.

Tidak lama selepas itu, Zionis Israel menyerang balas ke atas Hudeidah, sebuah bandar pelabuhan di selatan Yaman yang mengakibatkan kerosakan teruk depoh simpanan minyak dan beberapa nyawa yang terkorban.

- Advertisement -

Jurucakap kumpulan Houthi, Mohammed Abdulsalam berkata, saat ini sudah tiada lagi garisan merah atau had, semua kawasan dan institusi yang sensitif akan menjadi sasaran. Tel Aviv adalah sasaran utama.

Serangan ini membuka lembaran baharu konflik di Timur Tengah. Rentetan daripada itu, saya sertakan beberapa fakta penting perkembangan yang sedang berlaku:

Sistem pertahanan Zionis Israel berjaya ditembusi
Sebelum ini, pertembungan antara kedua-dua kelompok di atas hanya berkisar di bumi Palestin dan selatan Lubnan.

Namun segala-galanya telah berubah, buat kali pertama dron yang dihantar oleh Houthi berjaya menembusi sistem pertahanan Zionis Israel yang dibantu oleh sekutu Barat sehingga sampai ke Tel Aviv walaupun jaraknya lebih 2,000 kilometer.

Operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober tahun lalu merubah segala-galanya. Rupa-rupanya negara haram Israel umpama sarang labah-labah yang begitu lemah sekali.

Sehingga saat ini, tentera Zionis Israel yang digembar-gemburkan sebagai tentera yang tidak dapat dikalahkan terus gagal untuk mengatasi Hamas. Gaza yang hanya sebuah wilayah kecil gagal ditundukkan oleh negara kuasa nuklear Zionis Israel.

Zionis Israel makin terpinggir
Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) beberapa hari lalu yang memutuskan bahawa pendudukan Zionis Israel di bumi Palestin selama berdekad-dekad adalah tidak sah di sisi undang-undang serta perlu dihentikan.

Keputusan ini seharusnya menjadi tanda aras kepada mana-mana negara khususnya dunia Islam memutuskan hubungan diplomatik serta menolak agenda normalisasi dengan Zionis Israel seperti penyelesaian dua negara yang ditaja oleh Barat.

Menerimanya seolah-olah bersekongkol dengan sebuah rejim yang bermaharajalela membunuh ribuan rakyat Palestin di Gaza.

Hari ini, masyarakat antarabangsa semakin ragu terhadap keabsahan kewujudan negara haram Israel dan tidak lagi segan silu mengutuk kekejaman Zionis Yahudi. Benteng yang runtuh ini menggerunkan Zionis Yahudi kerana pekong mereka sudah terdedah.

Apa selepas ini ?
Penasihat Keselamatan negara haram Israel, Tzachi Hanegbi, menegaskan: “kami melancarkan perang di tujuh kawasan, Judea dan Samaria (istilah Yahudi untuk Tebing Barat), Gaza, Lubnan, Syria, Iran, Iraq dan Yaman.”

Di utara, pertempuran rentas sempadan antara rejim Zionis Israel dan Hizbullah di Lubnan semakin meruncing dan dijangka akan tercetus perang besar-besaran pada bila-bila masa.

Sejak Oktober tahun lalu, kumpulan Houthi di Yaman menyerang kapal yang melalui Laut Merah dan Teluk Aden ke pelabuhan Eilat, Zionis Israel dan tidak akan menghentikan serangan melainkan perang ke atas Gaza ditamatkan.

Pada masa sama, Amerika Syarikat dan Britain sejak awal lagi menyertai peperangan ini dengan melancarkan serangan ke atas Yaman, Iraq dan Syria, khususnya kumpulan Houthi, kumpulan pejuang Iraq dan Syria sebagai usaha untuk menangkis serangan bertali arus ke atas Zionis Israel.

Jika dilihat skala serangan Zionis Israel dalam konflik kali ini, ia sangat jelas bahawa sebenarnya ia bukan hanya alasan untuk menumpaskan Hamas, tetapi lebih kepada untuk mengukuhkan cengkaman ke atas dunia Islam dan pelaksanaan ‘The Greater Israel’ yang dengan sendirinya akan mencetuskan perang yang lebih besar di Timur Tengah dengan mengheret pihak lain, khususnya Barat serta negara Arab.

Keberadaan Zionis Israel di Timur Tengah adalah amat penting buat Barat sebagai proksi utama serta pelaksana utama polisi mereka di rantau itu. Keselamatan Zionis Israel hendaklah dijamin bagi kesinambungan ekonomi, geopolitik dunia serta menghalang kebangkitan dunia Islam.

Peningkatan pengaruh dan kekuasaan geopolitik Rusia dan China di kalangan negara utama Timur Tengah dan sokongan kuat ke atas Iran menyebabkan pengaruh Barat serta Zionis Israel semakin tenggelam.

Perang kali ini menyerlahkan kekuatan mahu pun sokongan ke atas Iran dan secara tidak langsung Rusia di kalangan majoriti penduduk Timur Tengah. Ia dengan sendiri menimbulkan ketakutan kepada Barat.

Ancaman perang di seluruh Timur Tengah kini sangat nyata. Sebagaimana kata Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei beberapa bulan lalu: “Israel adalah tumor barah yang menunggu masa untuk musnah”.

Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuk rakyat Palestin, moga tidak lama lagi mereka berjaya mencapai kemenangan dan kemerdekaan dengan izin Allah.

Sebagaimana ungkapan pahlawan terkenal ketika ini, Abu Obaida “Jaga wuduk, jaga solat kalian, Insya-Allah kita akan solat di Masjid Al-Aqsa tidak lama lagi”. – HARAKAHDAILY 27/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -