
KUALA LUMPUR: Media sosial (medsos) seharusnya diberikan kebebasan untuk bersuara tentang isu Palestin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad berkata, sudah terlalu banyak sekatan yang berlaku terhadap pelbagai kandungan video mengenai Palestin yang dikongsi dalam mana-mana platform media sosial.
“Ini yang menyebabkan semangat rakyat tentang isu Palestin semakin sejuk dan walaupun masih ada tetapi ia masih perlahan,” katanya ketika ditemui di Dewan Majlis Perundangan Melayu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, rakyat di negara-negara barat sendiri masih diberikan ruang untuk menggunakan media sosialnya untuk bersuara mengenai isu Palestin.
Tambahnya, ini yang menyebabkan semakin ramai rakyat Eropah yang mula berdiri bersama-sama menyokong rakyat Palestin itu sendiri.
“Namun begitu, ini tidak berlaku dalam negara kita yang mana setiap kali ada sesiapa yang bersuara mengenai isu Palestin maka ada kalanya kandungannya akan ditapis oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat-syarikat media sosial itu sendiri di Malaysia.
“Jadu, kita menggesa kerajaan supaya hentikan sebarang tapisan terhadap kandungan mengenai isu Palestin ini kerana ianya merupakan sesuatu yang amat penting bagi kita semua,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kamarulzaman menyatakan bahawa kerajaan perlu bertegas untuk meminta mana-mana platform media sosial untuk tidak mengenakan sebarang tapisan terhadap kandungan mengenai isu Palestin.
Kata beliau lagi, jika benar kerajaan bersama-sama rakyat Palestin maka perkara tersebut harus dilakukan sebagai antara bukti yang kukuh mempunyai prinsip sedemikian.
“Ini kerana kerajaan bersuara sahaja bersama-sama Palestin adalah sememangnya langsung tidak mencukupi.
“Jika kerajaan masih tidak boleh bertegas dalam meminta mana-mana platform media sosial untuk tidak mengenakan sebarang tapisan terhadap kandungan mengenai isu Palestin, maka saya melihat kerajaan tidak serius dengan isu ini.
“Apa pun saya menyokong sepenuhnya Forum Suara Kemanusiaan Gaza hari ini yang dianjurkan oleh gabungan NGO Pembela Ummah ini kerana melihat isu Palestin ini secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2024




















