MB bermusafir santai bersama pegawai negeri, persekutuan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Sesekali bermusafir santai bersama rakan-rakan pegawai tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan,” kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Katanya, dari Kuala Terengganu singgah di Terowong Bukit Tebuk, Dungun dan bergambar kenangan bersama rakan-rakan konvoi di tempat yang bersejarah itu. (Foto atas)

“Kenapa bersejarah? Terowong Bukit Tebuk ini adalah terowong kereta api yang dibina oleh British pada tahun 1932 untuk mengangkut bijih besi dari lombong Bukit Besi ke pelabuhan di Kuala Dungun,” ujarnya dalam hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Menurutnya, terowong itu mempunyai panjang kira-kira 400 meter dan menjadikannya salah satu terowong kereta api tertua dan terpanjang di Malaysia pada masa itu.

Tambahnya, semasa Perang Dunia Kedua, terowong itu digunakan tentera Jepun sebagai laluan strategik dan tempat perlindungan.

“Kini, terowong ini menjadi salah satu tempat pelancongan dan peninggalan sejarah yang penting buat negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap penduduk tempatan dan pengunjung yang singgah di tempat itu dapat menjaga penambaikan yang telah dilakukan agar struktur terowong itu kekal sebagai tempat warisan sejarah yang cantik dan selesa untuk dikunjungi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri yang juga ADUN Paka, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat yang menyambut kehadiran rombongan di Dungun.

“Moga program ini dapat mengeratkan ukhwah antara kami, insya-Allah,” katanya yang juga ADUN Ru Rendang. – HARAKAHDAILY 27/7/2024

- Advertisement -