‘Kamu senang-senang arah Menteri supaya langgar peraturan?’

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Mentang-mentang parti kamu ada kuasa, kamu senang-senang arah Menteri supaya langgar peraturan? Kamu nak jadi abang besar?”

“Bila ada kuasa, maka boleh buat apa saja, boleh langgar peraturan sesuka hati demi jaga kepentingan parti? Inikah contoh yang kamu nak tunjuk kepada rakyat?

“Kamu kata Menteri Pendidikan yang pertahan peraturan tu seolah-seolah ‘Menteri PAS’. Terima kasih sebab iktiraf PAS patuh peraturan.”

- Advertisement -

Itu mesej penegasan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam kenyataan menerusi Facebooknya ketika mengulas laporan portal berita, Malaysiakini yang pada hari ini mengenai Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang telah mengingatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek agar tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan, Fadhlina bukan ‘menteri pendidikan PAS’.

Guang Eng dilaporkan juga sebagai berkata, komen Fadhlina sebelum ini mengenai acara kutipan dana pendidikan Cina agak keras, dan dia berharap agar Fadhlina akan mempertimbangkan semula pendiriannya itu.

“Beliau bukan menteri pendidikan PAS; beliau mewakili Pakatan Harapan, kerajaan perpaduan dan seluruh negara,” kata Lim, yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ayer Itam pada sidang media di pusat khidmatnya hari ini, menurut laporan Malaysiakini tersebut.

Sehubungan itu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mengutarakan persoalan yang berbunyi, “Adakah Timbalan Menteri yang hadir majlis sumbangan syarikat ‘harimau’ tu, seolah-olah ‘Timbalan Menteri DAP’?

“ Cukup-cukuplah dengan politik sempit begitu. Berjiwa besarlah demi masa depan anak-anak pelajar,” tegasnya.

Menurut beliau, isu sumbangan tajaan syarikat arak kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) yang heboh diperkatakan sebelum ini bukan isu warna parti politik.

“Ini isu peraturan yang sudah sedia ada. Mana-mana pihak tak kira parti mana sekalipun perlu patuh pada peraturan.

“Parti kamu sekarang jadi kerajaan. Kena tunjuk contoh kepada rakyat supaya patuh pada peraturan.

“Jangan buat contoh tak baik kepada rakyat,” ujarnya.

Justeru, Afnan membuat kepada parti Umno, “Kepada kawan-kawan dalam parti Umno, inilah sebabnya kami putuskan hubungan dengan DAP.

“Nasihat kami, tinggalkanlah DAP. Selamat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -