
MASJID TANAH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman telah dikurniakan Anugerah Tokoh Murabbi Terbilang pada Himpunan Pendidik dan Sambutan Hari Guru PAS Kawasan Masjid Tanah.
Anugerah tersebut bagi mengenang jasa beliau yang merupakan bekas seorang guru Sekolah Rendah JAIM dan terlibat secara aktif di dalam aktiviti pendidikan dalam PAS terutamanya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Pengerusi PASTI Negeri Melaka dan Pengerusi PASTI Kawasan dan kini masih menjadi Ahli Lembaga Pengarah KOPASTI Malaysia.
Anugerah disampaikan oleh Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM), Ustaz Norfaizal Nordin yang juga perasmi program tersebut.
Majlis yang berlangsung di Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah, Jalan Hujan Panas, di sini, petang tadi itu adalah bagi meraikan seluruh guru-guru PASTI dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dalam Parlimen Masjid Tanah.
Seramai 11 orang guru dari sebuah SRITI dan 34 orang guru dan pembantu guru dari sembilan buah PASTI dalam kawasan itu diraikan dalam majlis tersebut.
Dua orang guru menerima Anugerah Guru Lama Berkhidmat iaitu Siti Aidah Bohari dari PASTI An-Nur dan Gayah Yusoh dari PASTI Lukmanul Hakim yang masing-masing telah berkhidmat selama 30 dan 31 tahun.
Selain itu, terdapat beberapa kategori anugerah lagi telah dikurniakan iaitu Anugerah Guru Kreatif milik Huda Hamizah Zul Sham (PASTI Al-Jali); Anugerah Guru Istiqamah – Norasihan Abdullah (PASTI An-Nur) dan Anugerah Guru Harapan- Nabilah Ismail (PASTI LuqmanulHakim).
Manakala Anugerah Guru Ceria jatuh kepada Marziah Zahra M. Sharif dari PASTI Aliya Azzahra; Anugerah Guru Mithali-Zaleha Abdul Jalil (PASTI Murabbitin) dan Anugerah Guru Berwibawa- Surani Bayali (PASTI Al-Hikmah).
Juga Anugerah Guru Inovasi yang diberikan kepada Nur Ashikin Roslan (PASTI Harun ArRasyid); Anugerah Penyayang- Nurul Hidayah Abdul Rahim (PASTI Ar-Rahman) dan Anugerah Guru Berketrampilan, Nur Syaidatul Nabila Abdul Manan (PASTI Al Mukhlisin). – HARAKAHDAILY 26/7/2024











