Allah lebih sayangkan anak syurga Syed Putra Maliq

- Advertisement -

MUAR: “Allah lebih sayangkan dia,” demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib susulan pemergian anak syurga, Syed Putra Maliq pada Rabu kelmarin.

- Advertisement -

Menurut beliau, Allahyarham adik Syed Putra merupakan anak kepada pasangan Syed Ahmad Nasim Syed Hethir dan Nur Afiqah Mohd Zambri itu menghidap masalah jantung sejak dilahirkan.

Kata beliau, oleh kerana ayah kanak-kanak itu berketurunan Syed menyebabkan kesukaran baginya untuk mendapatkan bantuan Baitulmal.

“Cuma alhamdulillah kami dimaklumkan oleh ibu bapa Allahyarham yang akhirnya dapat juga untuk kos perubatan _one-off_ dari Majlis Agama dan juga bantuan perubatan dia per-bulan yang bukan dari sumber zakat.

“Kami juga sebelum ini bantu sekadar mampu RM200 sebulan sebagai bantuan perubatan dari Pejabat ADUN Maharani,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau, pihaknya difahamkan bahawa selepas hari raya lepas, Allahyarham ada melakukan pemeriksaan dan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Cuma ayahnya beritahu dah pasang bateri untuk kuatkan degupan jantung, sementara belum cukup berat badan untuk melakukan pembedahan,” maklumnya.

Abdul Aziz selaku juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar berkata, Allahyarham yang berusia satu tahun enam bulan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 6 Bakri.

Terdahulu, semalam, Abdul Aziz memuatnaik satu catatan di laman _Facebook_ rasmi miliknya menzahirkan kesedihan atas perkara yang berlaku dengan menyebut ‘Hati saya diruntun pilu…’

Dalam catatannya itu, beliau turut menzahirkan kesedihan atas beberapa peristiwa pemergian insan-insan beliau kenali dengan yang terbaru pemergian Allahyarham adik Syed Putra itu.

Beliau dalam catatannya itu turut menyebut mengenai pemergian seorang sahabatnya baru-baru ini yang sama-sama berjuang semasa PAS masih susah dan belum mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Sebelum ini telah perginya sahabat saya yang sama-sama susah dan senang berjuang ketika zaman awal PAS bertapak di Muar.

“Perginya Allahyarham saudara Hamidon Omar begitu banyak jasanya kepada PAS Kawasan Muar sejak zaman Dr Mohamad Taslim menjadi ADUN Maharani,” katanya dalam hantaran tersebut.

Katanya, Allahyarham Hamidon pernah menjawat Setiausaha PAS Kawasan Muar dan pembantu peribadi kepada mantan ADUN Maharani, Dr Mohamad. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -