
BOGOTA: Seorang wanita berdepan detik mengejutkan apabila ‘air fryer’ (penggoreng udara) yang dibeli secara dalam talian, namun bungkusan yang diterima sebalikya adalah seekor biawak besar.
Dalam perkongsian oleh wanita yang dikenali sebagai Sofia di laman X pada 18 Julai lalu, dia terkejut apabila mendapati seekor biawak yang sangat besar berada di dalam kotak yang diterimanya ketika dia membuka bungkusan tersebut, lapor NDTV.
Sofia berkongsi sebuah gambar biawak tersebut dengan kapsyen “Kami memesan penggoreng udara melalui Amazon dan ia tiba dengan seorang ‘teman’.
“Saya tidak tahu sama ada ia adalah kesalahan Amazon atau kesalahan kurier.”
Gambar yang dikongsikan wanita tersebut mengenai barang yang diterimanya menjadi tular di media sosial dan telah mencetuskan perbualan hangat antara pengguna-pengguna media sosial lain.
Dia dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Amazon masih belum memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya, sambil menyebut bahawa biawak itu dikenal pasti sebagai spesies Biawak Batu Sepanyol.
Perkongsian itu telah menjadi tular di platform media sosial X, memperoleh lebih 4.1 juta tontonan.
Beberapa pengguna X turut memberikan komen pada perkongsian tersebut, di mana seorang pengguna menulis, “Saya akan mati jika ini berlaku kepada saya.”
Komen lain antaranya, “Saya merasakan haiwan kecil itu pasti takut, lapar, dan dahaga.”
Sementara seorang lagi pengguna X pula menulis, ‘Ketakutan baharu dibuka.” – HARAKAHDAILY 25/7/2024




















