
BEBERAPA hari lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan memberi bayangan bahawa beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria, Basyar al-Assad sama ada di Damsyik atau Ankara.
Ia bakal membuka dimensi baharu hubungan antara Turkiye dan Syria selepas konflik berdarah yang mengorbankan puluhan ribu nyawa sejak 2010.
Mengimbas kembali konflik Syria yang bermula seawal 2010 iaitu selepas meletusnya Arab Spring di Tunisia yang akhirnya merebak ke seluruh negara Arab termasuk Syria. Konflik yang asalnya bermula dengan demonstrasi aman berakhir dengan pertumpahan darah antara pihak pembangkang dan tentera Syria yang mendokong Basyar al-Asad.
Semenjak awal lagi, Turkiye mengambil langkah menyokong kumpulan pembangkang bahkan membuka sempadannya kepada rakyat Syria bagi mendapat perlindungan serta memberi bantuan kepada kumpulan penentang bersenjata yang menentang kerajaan Basyar al-Assad.
Langkah Turkiye ini jelas melanggar perjanjian keselamatan dengan Syria iaitu Perjanjian Adana yang termeterai pada 20 Oktober 1998. Perjanjian ini sebenarnya adalah ‘win-win situation’ bagi menjaga keselamatan kedua-dua negara daripada ancaman kumpulan pemisah Kurdistan yang didokong oleh Barat.
Medan pertembungan kuasa
Syria menjadi medan pertembungan kuasa besar dunia yang mempunyai kepentingan masing-masing. Amerika Syarikat mempunyai kepentingan untuk menjaga keselamatan Israel serta menguasai sumber minyak dan gas melalui ‘sokongan’ kepada ISIS di peringkat awalnya yang akhirnya memakan diri dan seterusnya bersekongkol dengan kumpulan pemisah Kurdistan (YPG) untuk menghapuskan ISIS.
Iran pula menyokong Basyar al-Assad, matlamatnya untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria adalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang menjadi sekutunya dan jambatan antaranya dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menentang rejim Zionis Israel.
Rusia juga menyokong Basyar al-Assad, matlamatnya untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat di Timur Tengah.
Setakat ini strategi Rusia begitu berjaya sekali apabila diberikan keizinan membuka pengkalan tentera lautnya yang dibina di Tortuz, Syria (satu-satunya pengkalan tentera laut Rusia yang berada di laut lepas ).
Manakala Turkiye pula matlamatnya ialah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdis PKK dan YPG, namun berada dalam keadaan serba salah.
Pada peringkat awal, Turkiye menyokong perjuangan untuk menjatuhkan Basyar Al-Assad yang selari dengan kehendak Amerika Syarikat dan rejim Zionis Israel, namun lama kelamaan Turkiye menyedari permainan jahat Amerika Syarikat dan rejim Zionis Israel menikam dari belakang dengan menyokong YPG.
Konflik yang berpanjangan ini lama kelamaan menjadi beban ke atas Turkiye akibat kebanjiran jutaan pelarian Syria sehingga membawa konflik antara penduduk Turkiye dan rakyat Syria yang mendapat perlindungan di Turkiye.
Kemuncaknya adalah keputusan pilihan raya majlis perbandaran Turkiye yang berpihak kepada parti pembangkang sehingga parti AKP pimpinan Erdogan mengalami kekalahan teruk di majoriti bandar raya besar seperti Istanbul, Ankara dan Izmir.
Langkah pragmatis Erdogan
Erdogan terkenal dengan langkah pragmatis di sepanjang karier politiknya. Justeru langkah terbaharu ini dilihat agak radikal untuk mengembalikan sokongan rakyat kepadanya dalam pilihan raya akan datang.
Pengalaman sepanjang konflik Syria mengajar beliau bahawa Barat tidak boleh dipercayai sama sekali. Tindakan Amerika Syarikat yang menyokong dan mendokong kumpulan pemisah Kurdistan adalah satu pengkhianatan.
Langkah Turkiye ini dilihat untuk mengimbangi maslahah jangka masa panjang politik Turkiye sama ada dalaman mahupun geopolitik rantau Timur Tengah yang sedang melalui fasa perubahan.
Persoalannya, adakah Syria akan menyambut pelawaan Turkiye untuk berdamai? Sehingga kini Rusia masih lagi diberikan kepercayaan oleh Turkiye dan Syria bagi mencapai titik perdamaian.
Sudah tentu jika usaha ini berjaya, pihak yang paling kecewa adalah Amerika Syarikat dan regim Zionis Israel kerana ia akan mendekatkan lagi hubungan antara Turkiye dan Rusia serta Iran bagi mendepani perubahan terkini geopolitik rantau Timur Tengah.
Harapan umat Islam
Harapan seluruh umat Islam agar perdamaian dapat dicapai antara kedua-dua negara yang sangat penting kepada Dunia Islam ini khususnya di saat penindasan yang berlaku terhadap umat Islam di Palestin. Yang paling utama ialah kesatuan di antara negara-negara Islam mesti diperkukuh dan dieratkan.
Dunia Islam seharus tidak bergantung kepada mana-mana kuasa besar untuk mencapai kegemilangan dan kemajuan kerana Dunia Islam sendiri mampu membentuk kekuatan sendiri untuk kepentingan Islam dan umatnya.
Sejarah membuktikan Dunia Islam pernah menjadi kuasa besar dan peneraju dunia, cuma persengketaan sesama sendiri memusnahkan legasi tersebut.
Sama-sama kita kembalikan kegemilangan Dunia Islam agar Islam tidak pudar ditelan zaman dan musnah dimamah oleh musuh.
Adil, Prihatin dan Berkebajikan. – HARAKAHDAILY 20/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















