PDRM Kelantan johan kategori Inovasi dan Kreatif

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan muncul johan bagi kategori Inovasi dan Kreatif Horizon Baru (KIK).

- Advertisement -

PDRM Kelantan turut memenangi tempat ketiga bagi KIK Penciptaan Baru sempena Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Tuanku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Dalam satu kenyataan semalam, PDRM Kelantan menyatakan majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Dato’ Sri Mohd Kamarudin Md Din.

Johan bagi kategori Inovasi dan Kreatif Horizon Baru (KIK) itu dimenangi  kumpulan Inovatif IPD Tanah Merah yang dikenali sebagai Team RedLand Tech IPD Tanah Merah.

Manakala bagi kategori KIK Penciptaan Baru, Team Blue Fox Kaizen, dari IPD Gua Musang telah berjaya mendapat tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu, telah melayakkan Team RedLand Tech IPD Tanah Merah membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.

Team Blue Fox Kaizen, IPD Gua Musang pula membawa pulang piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai RM2,000.

Menurut kenyataan itu, objektif Konvensyen KIK ini adalah satu platform bagi membentangkan hasil cetusan idea-idea yang kreatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktif organisasi.

“Cetusan idea-idea inovatif dan kreatif itu merangkumi apa-apa perubahan kepada sistem, prosedur, kaedah atau cara bekerja.

“Pelaksanaan hasil inovatif ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian serta memberi faedah kepada pelanggan dan stake holder PDRM,” kata kenyataan itu lagi.

Konvensyen KIK PDRM itu juga adalah bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan memperbaharui komitmen dan dedikasi warga PDRM kepada usaha-usaha yang dijalankan ke arah peningkatan kualiti melalui inovasi dan kualiti.

Oleh itu, warga PDRM perlu kreatif dari masa ke semasa untuk melaksanakan perubahan, sentiasa peka, prihatin dan proaktif dalam persekitaran kerja masing-masing, sejajar dengan hasrat untuk memajukan perkhidmatan dalam PDRM.

Selain daripada itu kelmarin juga bertempat di Dataran Kompleks 3 (Cawangan Khas) Bukit Aman, Kuala Lumpur, telah berlangsung Majlis Anugerah Perumahan Terbaik PDRM tahun 2024.

Menerusi program itu, Perumahan Balai Polis Batu Gajah Tanah Merah Kelantan telah dinobatkan Johan Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM Tahun 2023 bagi kategori ‘C’, manakala Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori ‘B’.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Hussien. – HARAKAHDAILY 20/7/2024

- Advertisement -