
PEMIMPIN atau kerajaan yang zalim ialah yang tidak melaksanakan ajaran agama dengan kuasa yang ada dan tidak berusaha untuk melaksanakan perintah Allah SWT.
Zalim juga membawa maksud tidak melaksanakan tugasnya kepada rakyat. Pemimpin merupakan ketua atau pelindung kepada rakyat. Kerajaan ibarat mak dan ayah, yang perlu menjaga anaknya, menjaga kebajikan anaknya, melayan dengan baik dan memberi hak yang sepatutnya.
Mana-mana kerajaan yang tidak menunaikan tanggungjawab kebiasaannya memerintah tidak lama. Akan sampai satu masa, Allah akan menarik balik kuasa dan memberikan kepada orang lain. Begitulah pusingan kehidupan dunia.
Dalam sejarah Islam, apabila pemimpin melakukan perkara yang tidak baik, dia akan jatuh. Sebagai contoh, Kerajaan Umaiyyah dijatuhkan oleh Gerakan Abbas yang dipimpin oleh Abu Al-Abbas As-Saffah. Kerajaan yang baru ditubuhkan iaitu Kerajaan Abbasiyyah.
Keturunan Umaiyyah lari ke Sepanyol. Abdul Rahman Ad-Dakhil menubuhkan kerajaan yang baru di Sepanyol yang mampu bertahan selama ratusan tahun.
إِنَّ فِی هَـٰذَا لَبَلَـٰغࣰا لِّقَوۡمٍ عَـٰبِدِینَ
Maksudnya: Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadah (kepada Allah dengan berilmu). (Al-Anbiya: 106)
Kandungan al-Quran telah mencukupi untuk kita manusia sekiranya ingin mendekatkan diri kepada Allah, mendapatkan keredaan-Nya dan selamat di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Firman Allah:
مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَٰبِ مِن شَىْءٍۢ
Maksudnya “Kami tidak tinggal suatu perkara pun kecuali Kami sebut dalam al-Quran.” (Al-An’am: 38)
Ada belaka yang diperlukan oleh manusia dari segi agama, akidah, ibadah, cara hidup, pekerjaan dunia misalnya, macam mana nak susun pemerintahan, ekonomi, masyarakat dan macam mana nak hidup supaya berlaku keadilan dan kesejahteraan.
Cuma kelemahan kita adalah tidak mengamalkannya walaupun kandungannya begitu hebat. Itulah sebabnya kita sampai sekarang tidak mampu bangkit semula setelah kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1924.
Belum ada lagi negara Islam yang benar-benar hebat yang meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai asas pemerintahan dan peraturan-peraturan dan undang-undangnya mengikut Islam. – HARAKAHDAILY 20/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















