Isu BlackRock: ‘Kerajaan dengarlah rintihan rakyat’

Mytheyar (duduk, kiri), Siti Aishah (duduk, kanan), Tian Chua (kiri), Tun Faisal (kanan), Rafique (dua dari kanan) dan Hishamuddin (tiga dari kanan) dalam sesi Sidang Media Sekretariat Solidariti Palestin di kawasan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada hari ini, 18 Julai 2024. (FOTO: HARAKAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya mendengar rintihan rakyat sendiri yang membantah penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock Inc. (BlackRock).

Aktivis, Hishamuddin Rais berkata, pada hari ini (18 Julai) jam 4.30 petang menandakan berakhirnya mogok lapar oleh seorang aktivis Palestin, Mytheyar Mutturamalinggam.

- Advertisement -

“Mogok lapar yang dilakukan oleh saudara Mytheyar adalah jelas bertujuan untuk menentang perjanjian tersebut,” katanya dalam sesi Sidang Media Sekretariat Solidariti  Palestin di kawasan Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Saari; Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi; mantan Timbalan Ketua Umno Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua; Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid.

Tidak ketinggalan pempengaruh media sosial Aidil Yunus (atau YB Viral); aktivis bebas, Siti Zulaika Olivia; pempengaruh media sosial, Nurpais Ismail (Papa Berry); Naib Ketua Wiranita Malaysia, Nur Amani Ibrahim; dan seorang rakyat marhaen yang turut mogok lapar bersama-sama Mytheyar iaitu Siti Aishah Ibrahim.

Menurut Hishamuddin lagi, Mytheyar telah sanggup melakukan sedemikian dengan harapan supaya pihak kerajaan tidak lagi melakukan sebarang kerjasama dengan syarikat BlackRock yang terkenal bersifat pro-Zionis.

Tambah beliau, syarikat BlackRock yang bertanggungjawab membekalkan dana terhadap rejim Zionis Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

“Penglibatan syarikat BlackRock dalam melakukan perkara tersebut juga telah dinyatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.

“Syarikat tersebut yang telah menjadi pembekal dana utama kepada rejim Zionis Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin itu sendiri.

“Itu yang menyebabkan saudara Mytheyar melakukan mogok lapar selama 200 jam sebagai mesej kepada kerajaan supaya tidak lagi meneruskan penjualan sebahagian saham MAHB kepada mereka,” jelasnya.

Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan BlackRock.

Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Hishamuddin menyatakan kerajaan tidak sepatutnya membiarkan 39 lapangan terbang negara ini dikawal oleh BlackRock.

Kata beliau lagi, sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan perjanjian tersebut maka ini jelas merupakan satu perbuatan jenayah.

“Jadi,apa yang dilakukan oleh saudara Mytheyar sedikit sebanyak telah membuka mata orang ramai mengenai bahayanya jika BlackRock menguasai negara ini.

“Maka, saya nak kerajaan sedar bahawa kita semua menolak perjanjian ini kerana tidak mahu bersekongkol dengan syarikat bersifat pro-Zionis tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -