Impak perubahan iklim perlu ditangani bersama

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha untuk menangani impak perubahan iklim tidak dapat dilakukan secara bersendirian oleh negara tertentu tetapi perlu digerakkan secara bersama di peringkat serantau dan global.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia perlu menggesa negara-negara maju untuk lebih serius menyalurkan bantuan kewangan kepada negara membangun dan mundur yang lain. 

- Advertisement -

Menurutnya, meskipun negara sebegini menyumbang sebahagian kecil sahaja pelepasan gas rumah hijau, tetapi mereka cukup terkesan akibat perubahan iklim.

“Saya mohon Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan usaha untuk mendapatkan ‘climate financing‘ (kewangan iklam atau merujuk kepada semua aliran kewangan menangani punca dan akibat perubahan iklim) daripada negara-negara maju,”  katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun begitu, beliau yang juga Timbalan Presiden PAS meluahkan kebimbangan apabila ada beberapa kelemahan urus tadbir dalam perkara ini.

“Pertama, kelewatan mencapai sasaran 100 bilion Dolar Amerika yang sasarannya telah ditetapkan semasa Persidangan Parti ke-15 (COP-15) pada tahun 2009 yang sepatutnya dicapai pada tahun 2020,” ujarnya.

Tambah beliau, walau bagaimanapun, selepas dua tahun kemudian, sasaran ini baru tercapai. Antara punca kelewatan ini adalah disebabkan konflik perang Rusia-Ukraine dan bagi menampung keperluan pelarian.

“Kedua, negara-negara maju memanipulasi bantuan asing sedia ada dengan meletakkan label ‘climate financing’ yang sepatutnya dana ‘climate financing’ ini bersifat baharu,”  tegasnya.

Malah, ujar beliau, bukan sekadar itu, sebahagian besar pembiayaan iklim juga diberikan dalam bentuk hutang.

“Tindakan ini sangat tidak patut kerana memangsakan rakyat di negara miskin yang terperangkap dalam jerat hutang dan perubahan iklim,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -