
MOGYOROD: Pemandu Formula 1 (F1), Kevin Magnussen bakal meninggalkan pasukan Haas pada penghujung musim ini, sekaligus menandakan berakhirnya tujuh tahun Magnussen bersama pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Magnussen, 31, adalah pemandu paling lama dalam sejarah F1 pasukan Haas, yang sebelum ini telah menyertai pasukan itu pada 2017 sebelum ditamatkan kontrak pada penghujung musim 2020.
Beliau bagaimanapun kembali menyertai pasukan Haas pada 2022 menggantikan pemandu dari Rusia, Nikita Mazepin yang ditamatkan kontrak lebih awal selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun berkenaan.
“Saya berbangga kerana telah berlumba untuk pasukan dan orang yang begitu hebat. Saya telah menikmati beberapa detik hebat bersama pasukan ini, kenangan yang tidak akan saya lupakan.
“Sementara saya menantikan bab seterusnya dalam kerjaya perlumbaan saya, saya tetap fokus sepenuhnya untuk memberikan segala yang saya ada untuk sepanjang tahun 2024 bersama pasukan Haas,” katanya, lapor Formula 1.com.
Tahun terbaik pemandu kelahiran Denmark itu bersama Haas ialah pada 2018 apabila dia menamatkan saingan di tempat kesembilan dan membantu Haas mendapat penamat terbaik di tempat kelima dalam kedudukan pasukan pada tahun itu.
Sementara itu, Ketua Prinsipal pasukan berkenaan, Ayao Komatsu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Magnussen atas segala yang dia berikan kepadanya sebagai satu pasukan di dalam dan di luar trek dan menganggap beliau benar-benar menjadi asas kepada barisan pemandu Haas selama ini.
“Terdapat banyak perlumbaan untuk diharungi tahun ini, jadi saya tidak sabar untuk melihat apa lagi yang boleh kami capai bersama Kevin ketika kami berusaha bersama dalam kejuaraan,” katanya.
Kekosongan kerusi pemandu berkenaan dijangka diambil oleh pemandu pasukan Alpine, Esteban Ocon, tetapi Haas masih belum mengumumkan rancangannya berkenaan siapa yang akan bergandingan dengan Oliver Bearman untuk musim 2025. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 18/7/2024




















