
KUALA LUMPUR: Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal melakar sensasi sekaligus membanggakan Kampung Sijangkang kerana memenangi acara 100 meter (m) wanita akhir petang semalam.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yusnus Hairi mengucapkan tahniah kepada ‘ratu pecut’ Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Sarawak, Kuching menerusi laman Facebook rasminya.
“Nur Afrina yang tinggal di Jalan Aman, Kampung Sijangkang bukan sahaja telah memenangi acara 100 meter wanita akhir dengan catatan 11.64 saat tetapi anak muda berusia 19 tahun ini turut berjaya memecah rekod temasya dengan catatan berkenaan,” katanya.
Atlet anak jati Kampung Sijangkang itu membuat kejutan apabila memadamkan rekod SUKMA 11.81s milik Azrenn Nabila Alias yang dirakam pada edisi 2018 di Perak enam tahun lalu.
“Semoga kejayaan yang dikecapi ini dapat menjadikan beliau sebagai contoh dan inspirasi kepada anak-anak muda terutama buat mereka yang berada di Kuala Langat umumnya dan di Sijangkang khususnya.
“(Buat Nur Afrina) Teruskan usaha untuk mengecapi lebih banyak kejayaan demi kejayaan dan memberi kebanggan kepada seluruh pihak terutama ibu bapa,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024




















