
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengesahkan bahawa pasukan Terengganu FC sedang giat untuk mendapatkan penyerang tulen bagi memperkuatkan pasukan dalam saingan Liga Malaysia.
Beliau berkata, langkah itu diambil setelah ketua jurulatih pasukan menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan penyerang utama yang memberi impak, terutama sekali selepas Ivan Mamut mengalami kecederaan yang menghalang penyertaannya dalam perlawanan.
“Keperluan seorang penyerang tulen amat diharapkan untuk pasukan buat masa ini. Hasrat ini telah dibentangkan kepada pihak Lembaga Pengarah dan hari ini saya mengambil laporan terkini perjalanan untuk melengkapkan permohonan pihak ketua jurulatih.
“Pemilihan pemain ini telah dibuat secara bersama dengan pihak kejurulatihan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan tempoh hari.
“Kelulusan juga telah diberikan untuk menyokong kebangkitan pasukan bagi mengisi tambahan seorang penyerang import semasa tempoh jendela perpindahan kedua pertengahan musim Liga Malaysia pada 26 Ogos 2024 ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai atas hasrat barisan kejurulatihan berdasarkan corak, gaya dan keperluan pasukan.
“Perincian maklumat pemain ini dan pengumuman rasmi akan dimaklumkan melalui laman rasmi kelab.
“Perkara itu akan dimaklumkan setelah selesai pemeriksaan kesihatan, kecederaan dan kecergasan pemain. Seterusnya menyempurnakan perjanjian kontrak,” katanya.
Dalam tempoh untuk berdepan dalam saingan Asean Club Championship 2024/25 dan baki perlawanan yang ada untuk Liga Super pusingan pertama, beliau menyeru para penyokong untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan dan ketua jurulatih bagi mengendalikan pasukan itu sebaik yang mungkin.
Katanya lagi, teguran dan kritikan semua pihak sentiasa diambil perhatian oleh pihak pengurusan kelab dan sentiasa dibincangkan bersama dengan pihak pasukan untuk melihat peningkatan yang dicapai dalam mengharungi cabaran musim ini. – HARAKAHDAILY 20/8/2024











