
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim diminta untuk memulakan dahulu dengan mengumumkan peruntukan yang adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ini berikutan saranan PMX sendiri menggesa permusuhan politik atau pertikaian berlebihan mengenai kaum, daerah atau wilayah dihentikan baru-baru ini.
“Tambahan beliau (PMX) berkata, pelbagai pihak seharusnya mencari penyelesaian bagi menangani semua halangan itu demi kesepakatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Roslan berkata, PMX diminta mengumumkan peruntukan yang adil buat semua Ahli-ahli Parlimen pembangkang tanpa syarat.
“Langkah ini demi keadilan dan perpaduan negara tanpa ada diskriminasi.
“Berpolitik dengan menangguh-nangguh peruntukan ini cukup zalim dan punca persengketaan berpanjangan.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN)lah yang dilihat banyak main politik dalam hal ini,” ujar Roslan.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dahulu kata Roslan, hampir dua tahun lalu, sesen pun tidak Perdana Menteri dan kerajaan PH-BN peruntukkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Seakan mahu menghukum rakyat yang memilih menyokong wakil-wakil ini. Jika tidak zalim apa lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024




















