
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki badminton negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei mencipta sejarah dengan menjuarai Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland sekaligus mengakhiri penantian selama 11 tahun arena badminton Malaysia untuk menjuarai gelaran ini.
Dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan itu, mereka berjaya menewaskan juara bertahan dari Denmark yang memegang ranking nombor dua dunia, Kim Astrup dan Anders Rasmussen menerusi tiga set, 15-21, 21-15, dan 21-19.
Kejayaan tersebut bukan sahaja memperbaiki kedudukan ranking Izzuddin-Sze Fei, tetapi turut menambah wang kemenangan mereka sebanyak RM142,282.
Kejuaraan di Terbuka Artik itu merupakan yang ketiga buat pasangan beregu berkenaan bagi musim 2024 selepas meraih gelaran juara di Terbuka Jepun dan Terbuka China.
Lebih membanggakan, Izzuddin dan Sze Fei kini menyertai kelompok elit beregu selepas melengkapkan semua gelaran Super Series (S100 hingga S1000), di samping mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan di final Jelajah Dunia BWF.
Dengan kemenangan di Terbuka Artik (S500), mereka telah meraih dua gelaran S100 di Abu Dhabi Masters dan Kaohsiung Masters 2023, dua gelaran S300 di Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka AS 2023, serta satu gelaran S750 di Terbuka Jepun 2024 dan S1000 di Terbuka China 2024.
Koleksi kejayaan ini mendorong Izzuddin dan Sze Fei mendaki ke kelompok tiga teratas dalam senarai perlumbaan merebut slot ke Final Jelajah Dunia 2024 di Hangzhou, China, di mana hanya lapan beregu lelaki terbaik akan dipilih untuk menyertai kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan ini.
Selain Izzuddin-Sze Fei, dua lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Aaron China-Soh Wooi Yik juga bersaing merebut slot ke final tersebut. – HARAKAHDAILY 14/10/2024




















