
KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Aduan Awam, Izizam Ibrahim berkata, penebangan pokok jati di kawasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berlaku sejak tahun 2014.
Menurutnya, keputusan untuk menebang pokok yang mencapai kematangan adalah berdasarkan laporan dan dasar telah ditetapkan.
“Pada 2014, pokok matang akan ditebang dan diganti semula dengan penanaman pokok baru,” katanya.
Setiap tahun, sekitar 10 hektar kawasan dengan kira-kira 7,000 pokok jati matang akan ditebang berdasarkan laporan dari jabatan-jabatan berkaitan.
Proses penebangan dan penanaman semula ini adalah untuk memastikan kelestarian hutan serta memberikan pendapatan kepada negeri.
Izizam juga menerangkan mengenai konsesi yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam proses penebangan pokok ini.
“Konsesi ini bermaksud ada syarikat yang diberikan hak untuk menebang pokok dan mereka perlu membayar balik kepada kerajaan negeri,” jelasnya.
Beliau mengakui bahawa isu penebangan pokok sering kali menimbulkan pelbagai reaksi dari masyarakat.
“Orang kata kerajaan negeri potong pokok, benda tu bukan kata baru, 2019 pun dah ada berlaku.
“Sekarang pun kita dalam proses potong pokok ini termasuk di tepi-tepi jalan sepanjang negeri Perlis. Memang pokok yang matang dan besar kita akan potong,” katanya.
Izizam menegaskan bahawa semua tindakan ini adalah berdasarkan dasar dan laporan yang ditetapkan dan beliau akan mendapatkan laporan penuh daripada jabatan-jabatan berkaitan untuk penjelasan lebih lanjut.
“Yang penting, pokok yang matang akan ditebang dan kita akan ganti balik dengan pokok baru untuk memastikan kelestarian hutan,” katanya.
Terdahulu, timbul isu mengatakan penebangan pokok balak di Batu 18, Jalan Kaki Bukit Padang Besar sudah ditebang dan dijadikan padang jarak padang terkukur. – HARAKAHDAILY 18/7/2024











