‘Apa maksud kekerasan yang perlu, adakah guna senjata?’

Dato' Dr. Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa meletakkan limitasi kekerasan seseorang pegawai dalam mengeluarkan arahan pengasingan sehingga dipenuhi.

- Advertisement -

Dato’ Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, ini berkenaan dengan seksyen baharu 14(a) iaitu seseorang pegawai diberi kuasa dan juga boleh melakukan kekerasan jika perlu untuk memastikan perintah arahan pengasingan dipenuhi.

“Apa yang dimaksudkan dengan kekerasan yang perlu itu? Adakah boleh dengan menggunakan apa-apa bentuk senjata seperti anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia)?” ujarnya semasa membahaskan Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau juga bertanya apakah mekanisme yang digunakan untuk mengukur jika kekerasan yang dilakukan telah melangkaui limitasi.

“Dan sekiranya terdapat pegawai yang menyalah guna kuasa yang diberikan itu, apakah jaminan perlindungan yang diberikan kepada mangsa dari sudut pembuktian terhadap ketidakwajaran yang dikenakan ke atasnya.

“Apakah kerajaan telah merangka suatu mekanisme pemantauan dan garis panduan yang jelas dari sudut ini. Ini yang saya mahukan penjelasan daripada pihak menteri,” ujar beliau.

Selain itu menurutnya, KKM digesa memperkasakan kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang perlu dilaksanakan pada waktu ini untuk membangunkan vaksin tempatan bagi kesiapsiagaan menghadapi krisis pandemik baharu yang mungkin boleh berulang berlaku bila-bila masa.

“Saya percaya dengan memiliki vaksin sendiri tahap keselamatan vaksin adalah lebih accountable, lebih banyak kos dapat dijimatkan serta protokol menangani wabak boleh dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Saya harap apa yang saya kemukakan sebentar tadi akan dapat dipertimbangkan ole menteri terutamanya dari segi kita menggemblengkan tenaga dan pakar kita di universiti-universiti tempatan, IMR (Institut Penyelidikan Perubatan),” katanya.

Ini, ujarnya supaya ia dipercepatkan suatu jawatankuasa khas untuk menghasilkan vaksin sekiranya berlaku apa-apa kemungkinan wabak baharu yang muncul pada masa akan dating. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -