Tabung Tunku Mahmud bantu lanjut pengajian

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Seramai 77 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah sekitar DUN Pengkalan Kundur menjadi antara penerima sumbangan bantuan pendidikan Tabung Tengku Mahmud.

- Advertisement -

ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari berkata, pemohon menerima sumbangan antara RM1,000 hingga ke RM3,000 seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM128,909.

“Inilah keprihatinan Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap pendidikan anak-anak di negeri ini.

“Alhamdulillah, dengan inisiatif ini dapat membantu para pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya di media sosialnya, di sini.

Justeru kata Mardhiyyah, rakyat Kedah sangat beruntung kerana mendapat seorang Menteri Besar yang begitu prihatin terhadap pendidikan terutama melibatkan dari golongan kurang berkemampuan.

“Jika bercakap berkenaan kemiskinan yang menghalang pendidikan anak-anak, beliau (Sanusi) pasti mengalirkan air mata. Oleh itu antara tujuan Tabung Tengku Mahmud ini diadakan adalah untuk membantu keperluan kewangan.

“(Iaitu kepada) para pelajar dari keluarga miskin untuk menyambung pelajaran ke IPT secara ‘one off‘ dengan jumlah bergantung kepada keperluan pelajar terbabit,” jelasnya lagi.

Tabung Tengku Mahmud adalah cetusan idea Almarhum Tan Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada 1 Mei 2008 ketika beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

Ianya merupakan tabungan sumbangan peribadi Menteri Besar, Exco, ADUN, para pegawai kerajaan dan individu untuk membantu pendidikan kepada para pelajar dari golongan kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -