
KUALA LUMPUR: “Saya cuma minta kerajaan untuk membuat pusingan U (u-turn) sekali lagi iaitu tolak penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock Inc. (BlackRock).”
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ramai rakyat negara ini menyokong mogok lapar yang dilakukan oleh seorang aktivis Palestin, Mytheyar Mutturamalinggam.
“Malah, saya sendiri pun sokong perkara tersebut kerana kita semua membantah penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat BlackRock yang bersifat pro-Zionis.
“Kalau sebelum ini kerajaan boleh buat u-turn dalam banyak perkara, tetapi kali ini kita minta kerajaan buat perkara sama iaitu tolak perjanjian sebegini pula,” katanya dalam sesi Sidang Media Sekretariat Solidariti Palestin di kawasan Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Malaysia Nadzir Helmi; mantan Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua; Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid; dan aktivis, Hishamuddin Rais.
Tidak ketinggalan pempengaruh media sosial Aidil Yunus (atau YB Viral); aktivis bebas Siti Zulaika Olivia; pempengaruh media sosial Nurpais Ismail (Papa Berry); Naib Ketua Wiranita Malaysia, Nur Amani Ibrahim; dan seorang rakyat marhaen yang turut mogok lapar bersama-sama Mytheyar iaitu Siti Aishah Ibrahim.
Menurut beliau, kerajaan pada hari ini bersifat terlalu defensif apabila disebut mengenai isu ini dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, pada hari ini juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana menyebut mengenai perkara tersebut.
“Untuk pengetahuan semua orang, Wan Ahmad Fayhsal telah digantung selama enam bulan bermula hari ini kerana menyebut maklumat berkaitan seorang broker yang dikatakan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.
“Walaupun beliau menyebut nama broker tersebut dalam Persidangan Dewan Rakyat, tetapi tujuannya ialah untuk meminta penjelasan sahaja dan kalau maklumat tersebut tidak betul, maka katakan sahaja ia tidak betul.
“Tambahan pula kita ada imuniti apabila berucap dalam Parlimen. Kalau sebelum ini ada ahli Parlimen kerajaan sendiri ada menyebut nama seperti Jho Low tak ada masalah pun.
“Saya menyebut perkara tersebut bukan bermakna yang saya ingin mempertahankan individu tersebut,” ujarnya.
Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat yang ada kaitan dengan BlackRock.
Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Fadhli menyatakan semakin ramai rakyat negara ini yang menentang usaha penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock.
“Maka, jika kerajaan masih ingin meneruskan perjanjian tersebut, maka mereka seolah-olah membina batu nisan sendiri kerana akan menerima akibatnya.
“Jadi mari kita sama-sama teruskan sokongan terhadap rakyat Palestin dalam apa jua keadaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024




















