
KUALA LUMPUR: Sekretariat Selamatkan Malaysia (SSM) bakal menganjurkan tiga siri perhimpunan aman Selamatkan rakyat Malaysia 2.0 bermula dengan Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar di Tambun, Perak pada 27 Julai ini.
Pengerusi SSM, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia akan diikuti siri kedua perhimpunan yang akan diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 31 Ogos dengan tema, Himpunan Rakyat Mencabut Roh Reformasi Daripada Anwar.
“Kemuncak perhimpunan tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16 September depan dengan sasaran 100,000 Rakyat Selamatkan Malaysia.
“Kita nak jemput juga PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk hadir menyerahkan tanggungjawab reformasi ini kepada rakyat dalam perhimpunan pada 16 September itu,” katanya dalam sidang media Himpunan Selamatkan Malaysia 2.0, di sini, hari ini.
Tun Faisal menyatakan, tarikh penting berkenaan dipilih untuk melambangkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan, yang mana tanggal 31 Ogos adalah Hari Kemerdekaan Malaysia dan 16 September pula adalah Hari Malaysia.
Sehubungan dengan itu, menurut beliau, sebuah Jawatankuasa Pemandu telah dibentuk bagi tujuan memberi panduan, input dan nasihat agar menjayakan Himpunan Selamatkan Malaysia 2.0 ini.
Mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya juga berkata, tujuan ketiga-tiga himpunan berkenaan diadakan adalah untuk membawa suara rakyat yang tidak berpuas hati, kecewa dan marah dengan PMX dan kerajaan hari ini setelah 18 bulan Kerajaan Madani memerintah; yang akan disertai dengan lima tuntutan kepada PMX.
Lima tuntutan terhadap PMX
“Lima tuntutan utama pada himpunan kali ini, yang pertama adalah menolak kepimpinan PMX kerana kita tidak lagi percaya kepadanya dan tidak sanggup bertahan lebih daripada 18 bulan.”
“Kita akan desak PMX meletak jawatan dan berundur secara terhormat,” tegasnya.
Menurutnya, negara sekarang menanggung hutang baru yang dulu kononnya PMX tidak ada penambahan hutang baharu yang keseluruhannya mencecah hampir RM 1.2 trilion.
Selain itu juga, prestasi ekonomi negara juga tidak meyakinkan kedudukan indeks daya yang merekodkan Malaysia jatuh ke tangga ke-34, lebih teruk dibandingkan negara jiran iaitu Singapura, Indonesia dan Thailand.
“PMX juga gagal melaksanakan janji-janji reformasi kepada rakyat termasuk menghalalkan tindakan pelantikan dirinya sebagai Menteri Kewangan,” hujahnya.
Tuntutan kedua, ujarnya, adalah bagi menurunkan harga minyak dan kos sara hidup yang sekarang ini sangat membebankan rakyat.
“Rakyat juga dibebani dengan pelbagai jenis cukai yang tinggi.
“Baru-baru ini, subsidi rakyat telah ditarik melalui harga diesel meningkat, malah kerajaan juga telah membayangkan bahawa RON95 juga bakal dinaikkan,” jelas beliau.
Melawan rasuah, salah guna kuasa
Sementara tuntutan ketiga, katanya, ialah melawan rasuah dan salah guna kuasa yang dilihat PMX tidak melaksanakan janji pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, pembebasan Suruhanjaya Pencegah Penjagaan Rasuah Malaysia (SPRM) dari kuasa eksekutif dengan pemberian jawatan dan penganugerahan projek kepada anggota keluarga.
“Kita tengok janji-janji peruntukan dan pemberian bantuan oleh kerajaan dilakukan tanpa rasa serba salah di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) serta banyak janji reformasi lain juga tidak dilaksanakan,” tegasnya.
Tambah beliau, PMX juga tidak bersungguh-sungguh menangani isu berkaitan rasuah tatakelola dan penyalahgunaan kuasa, sebagai contoh kes Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang dicanang-canangkan untuk dibicarakan waktu beliau menjadi pembangkang tetapi sampai sekarang tidak dibicarakan.
“Malah lebih teruk apabila pemimpin parti kerajaan yang terlibat dengan 47 pertuduhan prima parti kes rasuah, salah guna, kuasa pecah amanah dan pengubahan wang haram dilepaskan dan menjadi mimpi ngeri, diangkat pula menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Terbaharu, negara dikejutkan dengan pelbagai skandal rasuah, salah guna kuasa dan salah guna dana wang yang melibatkan agensi kerajaan dan juga jabatan-jabatan dalam kerajaan.
“Bukan itu sahaja, tindakan Speaker Dewan Rakyat juga dan Speaker Dewan Undangan Negeri kerana bertindak mengkhianati perlembagaan persekutuan,” dedahnya.
Mengembalikan kebebasan media, hak suara rakyat
Tuntutan keempat, menurut Tun Faisal, adalah mengembalikan kebebasan media dan hak bersuara rakyat yang terbukti kebebasan media jatuh ke-34 anak tangga menjadikan kedudukan negara Malaysia lebih teruk daripada negara haram Israel.
Beliau menyatakan, kedudukan Malaysia dalam indeks hak asasi manusia pada tahun 2024 juga semakin jatuh berbanding tahun 2023 dan 2022.
“Kebelakangan ini kita tengok kerajaan cenderung menyalahgunakan akta hasutan telah dilakukan sewenang-wenangnya untuk menakutkan rakyat dan menyekat rakyat daripada bersuara.
“Kalau kita tengok penggunaan akta hasutan dan penyalahgunaan ini, kes suruhanjaya komunikasi dan multimedia juga menyekat posting-posting daripada rakyat, kritikan kritikan daripada rakyat, termasuklah daripada ahli parlimen dan pemimpin pembangkang sangat-sangat menyebalkan,” katanya.
Sementara, tuntutan kelima dan terakhir adalah jaminan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebagai contoh, PMX gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan mengenai perjanjian maritim melibatkan Malaysia dan Indonesia dalam hal ehwal yang berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Beliau bertindak sewenang-wenangnya dalam penjualan saham syarikat pengendali aset strategi yang penting pada negara Malaysia Holdings Berhad (MAHB) kepada entiti syarikat Blackrock, iaitu GIP yang terlibat dengan genosid dan pembunuhan kejam rakyat Palestin,” tegasnya.
“Sehubungan itu, pihak SSM juga telah menerima penyertaan minat daripada sejumlah NGO, NGI dan organisasi-organisasi tertentu untuk turut terlibat bagi meluaskan lagi skop tuntutan perhimpunan selain daripada lima tuntutan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024




















