GERAHAM anjur himpunan ‘Kedah Bebas Judi’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Satu perhimpunan aman peringkat negeri akan diadakan di dataran berhadapan Masjid Zahir selepas solat Jumaat, 26 Julai depan, demikian maklum Pengerusi GERAHAM, Ustaz Nor Hakimi Abdul Halim.

- Advertisement -

Beliau yang ditemui Harakahdaily di Wisma Darul Aman, hari ini, turut memaklumkan, himpunan aman itu sebagai tanda sokongan kepada kerajaan negeri atas tindakan menutup premis judi yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023 lalu.

“Himpunan aman itu juga sebagai usaha menghimpunkan semua pihak sama ada badan bukan kerajaan (NGO) Islam mahupun perseorangan sebagai solidariti menyokong agar dasar bebas judi kerajaan negeri dikekalkan.

“Apabila dasar yang baik itu terpaksa dibatalkan dan premis judi dimaklumkan akan dibenarkan beroperasi semula, jadi apakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk menyumbang kepada agama?” soal beliau.

GERAHAM atau ‘Gabungan Gerak Rakyat, Hidupkan Amar Makruf, Hancur Aktiviti Maksiat’ diwujudkan untuk menghimpun NGO Islam, TikTokers, pempengaruh media sosial atau pihak persendirian dalam usaha menyokong kerajaan negeri memartabatkan dasar Islam di negeri ini.

Beliau menambah, aktiviti judi ini bukan sahaja tidak disokong oleh umat Islam sebaliknya tidak dipersetujui oleh orang bukan-Islam.

“Kehadiran perjumpaan hari ini yang memberangsangkan merupakan satu permulaan terbaik dan saya mengharapkan lebih banyak NGO Islam bersama GERAHAM,” ujarnya mengulas kehadiran 63 NGO Islam pada perjumpaan sulung di Wisma Darul Aman, hari ini.

Sementara dalam perkembangan yang sama, himpunan aman seluruh daerah di Kedah akan diadakan Jumaat ini, 19 Julai jam 2:30 petang mengikut tempat yang ditentukan, disusuli ceramah penerangan berhubung isu judi ini akan diadakan serentak di 15 Parlimen pada 20 Julai.

Isu judi ini menjadi agak panas apabila beberapa syarikat perjudian berjaya dalam tindakan undang-undangnya susulan tindakan kerajaan negeri tidak menyambung serta mengeluarkan lesen premis judi di seluruh Kedah.

Berikutan itu, kerajaan negeri pada 24 Jun lalu telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dan notis permohonan penangguhan pada 4 Julai lalu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar premis terbabit dikembalikan beroperasi. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -