Kecaknaan anak muda terhadap politik kian terdedah

Afnan Hamimi ketika muncul dalam forum berjudul, Politik Sesatkan Minda Anak Muda?, di Kuala Lumpur pada malam ini, 17 Julai 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kecaknaan anak muda terhadap politik semakin hari semakin terdedah dengan pelbagai maklumat kerana kebergantungan pengetahuan politik ini hampir 100 peratus atau 90 peratus pada media sosial. Semakin canggih media sosial, semakin cakna anak muda terhadap politik.”

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, anak muda pada hari ini semakin celik politik, apatah lagi jika usia mereka semakin meningkat, yang mana banyak pengetahuan kerana alat pertimbangan yang mereka boleh lakukan yang sudah tentunya menyebabkan kematangan politik akan semakin meningkat. 

- Advertisement -

“Berbanding dulu, maklumat tak banyak. Semasa era saya kanak-kanak, saya tidak banyak pendedahan berkaitan politik.  

“Saya tengok politik hanya waktu pilihan raya, waktu gantung bendera dan siapa masuk televisyen. 

“Jadi, orang yang tak masuk televisyen ini, orang muda tidak tahu nak ambil maklumat dekat mana,” katanya ketika muncul dalam forum berjudul, Politik Sesatkan Minda Anak Muda?, di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri; Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Hanif Jamaludin; dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Menurut Afnan lagi, sejak 10 tahun kebelakangan ini, anak muda telah mula berubah, dengan nampak lebih matang dan lebih celik bahkan lebih berani bersuara menyatakan pendirian. 

“Anak muda ini, dia kritik semua. Jadi, saya rasa anak muda semakin celik dan semakin matang berpolitik,” rnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Setar berkata, politik itu sendiri merupakan satu perkara yang baik, kerana jika  dikeluarkan daripada pemikiran dan sistem kehidupan, ia akan menjadi tidak lengkap dan sempurna. 

“Bahkan, syariat tidak dapat ditegakkan jika tidak ada politik.

“Isunya ialah politikus-politikus yang mempersembahkan persembahan politik. Politik ini diterjemahkan melalui pilihan raya, siapa jadi kerajaan, siapa jadi pembangkang. 

“Jadi, akan ada medan berlawan. Bila berlawan, masing-masing akan mendakwa parti mereka lah yang terbaik, yang patut dipilih.

“Maka,  itu memang demokrasi. Isunya ialah ia akan menjadi masalah apabila ‘padang’ itu tidak sama rata. 

“Apabila jadi begitu, ia akan menghilangkan politik yang berisi dan baik, yang akhirnya akan menjadi yang tidak baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -