
AGAMA Islam itu akan berdiri teguh hingga akhir zaman. Ia dipelihara dengan adanya ulama-ulama terdahulu sehinggalah sekarang daripada segala unsur-unsur yang menyimpang dan merosakkan. Sabda Nabi SAW:
يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُهُ، يَنْفُوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الْغَالِيْنَ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ، وَتَأْوِيْلَ الْجَاهِلِيْنَ
Maksudnya: “Ilmu ini akan dibawa oleh para ulama yang adil dari tiap-tiap generasi. Mereka akan menafikan segala penyimpangan yang dilakukan oleh orang-orang yang melampau, menolak kebohongan pelaku kebatilan dan takwilan orang-orang jahil.”
[Hadis Sahih Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (20700) dan al-Tabrani dalam Musnad al-Syammin (599)]
Berdasarkan hadis ini kita dapat memahami bahawa tugas menjaga agama sentiasa ada dan berjalan oleh para ulama yang ‘udul atau thiqah (dipercayai). Ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana setiap ulama itu perlu menjaga kesucian agama ini daripada penyimpangan dan takwilan yang dilakukan oleh golongan melampau dan jahil.
Di samping itu hadis ini menunjukkan bagaimana Allah SWT menjaga kesucian agama ini dengan melantik para ulama yang ‘udul dan ia juga menunjukkan akan bukti-bukti kenabian. [Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1: 17]
Allah memperingatkan akan sentiasa ada golongan yang berusaha menyelewengkan agama daripada ketulinannya. Setiap kali Islam cuba diusik daripada keasliannya atau ada yang berpaling tadah darinya, maka tatkala itulah juga Allah akan datangkan dengan kaum yang akan berjuang tanpa gerun dan gentar untuk memperbetulkan penyelewangan tersebut. Firman Allah SWT:
{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَن یَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِینِهِۦ فَسَوۡفَ یَأۡتِی ٱللَّهُ بِقَوۡمࣲ یُحِبُّهُمۡ وَیُحِبُّونَهُۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِینَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِینَ یُجَـٰهِدُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَلَا یَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَاۤىِٕمࣲۚ ذَ ٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ یُؤۡتِیهِ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰسِعٌ عَلِیمٌ }
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi Pengetahuan-Nya.” [al-Māʾidah: 54]
Menjadi tanggungjawab setiap Muslim menjaga kesucian agama, kerana itu adalah tugas utama insan yang diamanahkan Allah sebagai Khalifah. Sifat takwa dan amanah adalah sangat penting bagi seseorang individu dalam menyampaikan agama, terutamanya para alim ulama dan mereka yang bergelar agamawan
Setiap zaman akan ada golongan-golongan yang akan berusaha menghancurkan kesucian agama Islam. Walaupun begitu, kebenaran tetap dipertahankan oleh para ulama rabbani.
Setiap kata-kata atau fatwa yang bercanggah dengan apa yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadith akan menyebabkan kerosakan di dalam agama. Justeru itu, amat perlu para ulama berhati-hati dalam menyampaikan ilmu dengan sebaik mungkin.
Perbuatan atau sikap ekstrem dan melampau ditentang keras oleh agama Islam, kerana boleh menafikan sifat Islam yang meraikan kesemuanya. Sifat rahmat, kasih sayang, menghormati dan lain-lain lagi menjadi pakaian dan perhiasan kepada umat Islam.
Semoga Allah merahmati para guru, alim ulama dan golongan agamawan yang sentiasa istiqamah berdiri teguh atas prinsip ini.
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 17/7/2024











