
KUALA LUMPUR: Pengaruh sesetengah ahli politik telah menyumbang kepada berlakunya salah faham mengenai agama Islam dalam kalangan golongan masyarakat bukan Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, banyak perkara dalam Islam yang sering menjadi salah faham dalam kalangan mereka.
“Antaranya ialah mengenai undang-undang syariah seperti hudud, hukum fiqh, sistem poligami, konsep zakat dan agihan serta hak-hak wanita.
“Perkara-perkara sebegini yang sering disalah faham dan menyebabkan ramai yang bimbang dan cuba mempertikai ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, terdapat sesetengah ahli politik yang telah mencipta satu persepsi buruk mengenai agama Islam dalam mengembangkan pengaruh mereka.
Tambah beliau, perkara sebegini sering dilakukan bagi memenangi hati sebahagian kaum sahaja dan juga untuk mencapai matlamat politik mereka semata-mata.
“Mereka mencipta sesuatu persepsi buruk terhadap hukum dan syariat Islam dan menanam semangat benci terhadap hukum-hukum agama Islam yang akan membebankan dan menyukarkan kehidupan seharian mereka yang bukan beragama Islam (non muslim).
“Ini adalah jelas salah kerana realiti sebenar ialah hukum-hukum Islam hanya dipakai untuk orang-orang yang beragama Islam sahaja yang mana saya nak golongan non muslim untuk sedar mengenai perkara ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Zamri menyatakan terdapat golongan feminisme yang sering mempersoalkan kedudukan wanita dalam Islam yang mana mereka mendakwa hukum-hukum Islam terhadap wanita sebagai satu ‘penindasan’.
Kata beliau lagi, tindakan mereka secara tidak langsung telah menyuburkan lagi faktor Islamophobia dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.
“Apa pun, saya ingin menegaskan di sini bahawa Islam sangat menjaga dan membela setiap lapisan masyarakat termasuklah golongan wanita kerana terlalu banyak bukti yang menunjukkan perkara-perkara tersebut.
“Ini sememangnya berbeza dengan dakwaan-dakwaan yang mereka nyatakan. Mari kita sebagai umat Islam bersama-sama meleraikan salah faham agama ini dan insya-Allah, saya akan membuat video demi video bagi membahaskan perkara tersebut kepada orang ramai,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024



















