Jangan anaktirikan kebudayaan Melayu Pulau Pinang

Muhammad Zikri Zulkilfi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Promosi George Town Festival 2024 tidak seharusnya menganaktirikan kebudayaan bangsa Melayu yang merupakan penduduk asal negeri Pulau Pinang.

Ketua Armada Bersatu Pulau Pinang, Muhammad Zikri Zulkilfi berkata, semalam tular video promosi ‘George Town Festival 2024’ yang bakal berlangsung dalam masa yang terdekat, namun ia dipadamkan selepas meraih kritikan.

- Advertisement -

“Video tersebut tampak janggal apabila hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sahaja. 

“Perbuatan ini dilihat membelakangi semangat perpaduan masyarakat majmuk Pulau Pinang itu sendiri apabila nilai kebudayaan serta kesenian masyarakat Melayu di Pulau Pinang langsung tidak ditonjolkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, perkara sebegini juga telah memberikan gambaran yang salah bahawa bandar Georgetown hanya dipenuhi dengan seni budaya dan tradisi daripada kaum Cina dan India sahaja.

Tambah beliau, video tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan satu persoalan iaitu sama ada kebudayaan kaum Melayu Pulau Pinang sudah tidak lagi relevan dalam festival tersebut.

“Adakah pihak penganjur dan kerajaan negeri berpendapat bahawa seni kebudayaan kaum Melayu Pulau Pinang seperti boria dan yang lainnya sudah tidak relevan dengan imej baharu yang cuba ditonjolkan oleh bandar Georgetown?” soal beliau.

Sehubungan itu, Muhammad Zikri menyatakan kekesalan kerana budaya bangsa Melayu itu sendiri seolah-olah dianaktirikan oleh pihak penganjur festival tersebut.

Beliau menyeru kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memandang perkara ini dengan sangat serius dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Armada Bersatu Pulau Pinang ingin menzahirkan kekesalan kami apabila kebudayaan kaum Melayu telah dianaktirikan pihak penganjur. 

“Kami menyeru agar kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memandang serius perkara ini serta mengambil tindakan terhadap pihak terlibat demi menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Armada Bersatu Pulau Pinang ingin mengingatkan kerajaan negeri agar mengamati slogan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dicanang selama ini dengan lebih baik. 

“Bolehkah wujud perpaduan apabila kaum bumiputera di negeri ini dipinggir serta dianaktirikan?” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -