‘Ada pihak cuba nafikan kewujudan penduduk asal Pulau Pinang?’

Muhammad Fawwaz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Adakah terdapat pihak yang cuba menafikan kewujudan penduduk asal rakyat yang menetap di Pulau Pinang sebelum penjajahan British, Francis Light?”

Itu persoalan yang ditekankan oleh Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan sebagai wakil PAS Pulau Pinang dalam menyatakan perasaan teramat kesal dan kecewa susulan pengeluaran klip video promosi sambutan George Town Festival 2024, yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.

- Advertisement -

“Video itu seakan menafikan semangat perpaduan masyarakat Pulau Pinang yang sebenarnya kerana budaya masyarakat Melayu di Pulau Pinang tidak dipromosikan.

“Adakah ini satu lagi agenda terancang untuk menggambarkan Georgetown akan dimiliki oleh kaum tertentu sahaja?” katanya dalam media sosial Facebook miliknya hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu memandang perkara ini dengan lebih serius dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berkaitan agar keharmonian rakyat di negeri Pulau Pinang terus terjaga.

Pasukan George Town Festival 2024 padamkan video

Beliau juga mengemukakan persoalan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu mengenai penukaran nama asal Georgetown kepada Tanjung Penaga.

“Bilakah kerajaan negeri mahu mempertimbangkan semula nama asal Georgetown kepada Tanjung Penaga? 

“Ini kerana seharusnya nama yang melambangkan identiti Malaysia wajib diketengahkan, bukannya berbangga dengan identiti yang diberikan oleh penjajah,” tegasnya.

Sehubungan itu, Muhammad Fawwaz menyatakan PAS Pulau Pinang berharap kerajaan negeri tidak membiarkan mana-mana pihak menganaktirikan kaum Melayu yang duduk di Pulau Pinang itu sendiri.

“Maka, besar harapan dari PAS Pulau Pinang agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membenarkan mana-mana pihak menganaktirikan kaum Melayu dan tidak hanya sekadar menjadikan ‘Kerajaan Perpaduan’ hanya kata-kata pemanis bicara,” katanya.

Sementara itu, Malaysiakini dalam laporannya pada hari ini, melaporkan pihak Festival George Town 2024 telah memadamkan video promosi mereka dan memohon maaf, setelah dikritik sebagai hanya menonjolkan budaya Cina dan India. 

Pasukan George Town Festival 2024 dilaporkan telah melahirkan rasa kesal sekiranya video teaser promosi dengan tidak sengaja telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan; dan bertindak memadamkan semua siaran yang berkaitan dengan video tersebut demi mengurangkan salah faham. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -