
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) menyuarakan kebimbangan berkaitan pembatalan atau penggantian pembelian pesawat jenis Block akan merugikan ketenteraan darat Malaysia.
Katanya, pesawat tersebut terbukti sesuai dengan ekspektasi penggunaan ketenteraan darat Malaysia, lebih-lebih lagi selepas digunakan dalam pelaksanaan Eksesais Keris Strike di Sabah baru-baru ini.
“Pembelian ini boleh dilaksanakan secara terus antara G2G atau kerajaan dengan kerajaan tanpa melibatkan pihak ketiga sebagai agen.
“Pembelian ini juga boleh didaftarkan di bawah extract defense article dan dibincangkan dalam rundingan antara kedua negara,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ikmal Hisham turut mempersoalkan mengapa MINDEF masih berkeras untuk melalui syarikat swasta bagi pembelian pesawat itu sedangkan terdapat mekanisme pembelian antara G2G melalui platform Malaysia United States Strategic Talks yang boleh menjimatkan kos.
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata, kerajaan mempunyai penilaian dalam isu tersebut iaitu syarikat diberikan tempoh kontrak seperti yang telah disepakati.
Katanya juga, syarikat terlibat telah memohon penambahan masa (EOT) kali kedua dan permohonan tersebut sedang dalam proses penilaian.
Ikmal dalam soalan asal meminta MENTERI PERTAHANAN menyatakan apakah punca kegagalan Syarikat Aerotree Defence & Services gagal membekalkan pesawat helikopter jenis UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) mengikut waktu yang ditetapkan dan apakah tindakan susulan daripada pihak Kementerian Pertahanan bagi memastikan kepentingan TDM terpelihara. – HARAKAHDAILY 16/7/2024











