
KUALA LUMPUR: “Skrip sama. Buat. Minta maaf. Buat balik. Minta maaf. Bila dikecam, tukang kecam dituduh rasis. Hidup Madani!”
Itu respons berbaur sindiran yang ringkas tetapi padat dan ‘pedas’ oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi yang mengulas pasukan Festival George Town 2024 yang telah memadamkan video promosi mereka dan memohon maaf, setelah dikritik sebagai hanya menonjolkan budaya Cina dan India di Pulau Pinang, dan mengenepikan kaum Melayu yang merupakan penduduk asal negeri itu.
Sehubungan itu, mengulas isu yang sama, Pemuda PAS Bangi bertegas menyeru tindakan perlu diambil oleh pihak kerajaan berkenaan isu video tersebut yang seakan menafikan budaya masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
“Perkara sebegini kerap berulang dan harapnya isu yang menyentuh 3R (agama, raja dan kaum) itu tidak terpakai hanya untuk pembangkang sahaja!
“Adakah mereka mempunyai agenda tersembunyi dalam mengenepikan budaya dan ketuanan Melayu?”
“Perkara ini telah pun menyentuh aspek 3R,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia merupakan negara berbilang bangsa dan kaum., dan seharusnya semua pihak menjaga keharmonian antara bangsa dan kaum.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dalam kenyataannya telah menzahirkan rasa kesal dan kecewa atas pengeluaran video klip promosi sambutan ‘George Town Festival 2024’ yang hanya memaparkan promosi kebudayaan kaum Cina dan India di Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, bilakah kerajaan negeri mahu mempertimbangkan semula nama asal Georgetown kepada Tanjung Penaga.
“Seharusnya nama yang melambangkan identiti Malaysia wajib diketengahkan, bukannya berbangga dengan identiti yang diberikan oleh penjajah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024




















